23 Ogos 2023, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan Persatuan Pekomik Malaysia (PEKOMIK) mengadakan program pembudayaan tulisan Jawi dengan melancarkan Pertandingan Komik Jawi Secara Konvensional bermula 14 Ogos 2023 hingga 13 September 2023 menerusi media sosial DBP.

Bersempena dengan pertandingan yang diadakan, satu perkongsian melalui Program Pembudayaan Jawi Melalui Komik menerusi Slot Canai Bahasa dan Sastera telah diadakan khusus membicarakan tulisan Jawi pada kartun dan komik.

Kartunis Pauh berharap budaya negatif menerusi penghasilan komik menerusi media sosial dapat dibendung.

Perkongsian ini telah dijayakan oleh Mohd Safwan Mohd Ariffin (Kartunis Pauh) Kurator Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) dan Abdul Rani Ahmad (Kartunis Wukong), Presiden PEKOMIK dan Amir Md. Wal, Ketua Seksyen Pengurusan Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia sebagai moderator.

Program ini turut membincangkan perihal sejarah komik dan hubungannya sebagai alat untuk menyampaikan mesej kemerdekaan dan semangat kebangsaan pada era sebelum merdeka sehingga hari ini.

Tulisan Jawi merupakan tulisan yang amat signifikan kepada penghasilan komik-komik pada dekad tersebut. Tulisan Jawi yang dihasilkan oleh kartunis serta penulis ini seiring dengan perkembangan medium penulisan lain seperti pada risalah, akhbar, buku dan sebagainya.

Kartunis Pauh berkongsi tentang sejarah tulisan Jawi dalam menempuh fasa-fasa kemerosotan selepas kemerdekaan.

Kartunis Wukong mahu kartunis jelas citra jati diri dan budaya menerusi karya yang dihasilkan.

Penggunaan tulisan Jawi perlahan-lahan terhakis lantaran tulisan Rumi mengambil alih dan tulisan Jawi dipinggirkan. Pelbagai perjuangan dan inisiatif cuba dilaksanakan bagi memperkasakan tulisan Jawi ini namun impaknya belum cukup memuaskan.

Kartunis Wukong menyokong saranan kartunis Pauh dan PEKOMIK sebagai pertubuhan bukan kerajaan agar terus menyokong dan sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada segala usaha untuk mengembalikan citra tulisan Jawi ini di persada kebangsaan.

Oleh yang demikian kartun dan komik menurutnya boleh dijadikan medium kepada masyarakat untuk menyuburkan tulisan Jawi ini. Kartunis Wukong turut memberikan panduan kepada bakal kartunis agar menitikberatkan kualiti komik yang bakal dihasilkan oleh peserta menerusi pertandingan yang dianjurkan ini.

Sesi bergambar bersama-sama pegawai JKKN Kuala Lumpur selepas selesai sesi perkongsian dalam Program Pembudayaan Jawi Melalui Komik.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.