Oleh Nik Azman Nm
4 September 2023, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Persatuan Pelayang Negeri Kelantan (Pelayang) akan mengadakan Pesta Wau Kebangsaan Kelantan 2023 bermula 7 September hingga 9 September 2023 di Pantai Geting, Tumpat.

Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) Negeri Kelantan, Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan) Negeri Kelantan, Nik Ahmad Shazzwan Nek Muhammad, untuk program kali ini, hampir 200 orang peserta dari seluruh negara dijangka akan hadir termasuk peserta jemputan dari negara Thailand dan China.

“Sepanjang program selama tiga hari itu, pelbagai kategori pertandingan diadakan seperti dalam kategori Pertandingan Wau Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan terdiri daripada Pertandingan Wau Bulan Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan.

Pertandingan Wau Puyuh Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan, Pertandingan Wau Kucing Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan, Pertandingan Wau Jalabudi Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan, Pertandingan Wau Daun Barat Naik Peringkat Kebangsaan dan Pertandingan Wau Daun Pancang Meter Peringkat Kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, kategori Pertandingan Wau Tradisi Sobek/Cantik Kebangsaan ialah Pertandingan Wau Puyuh Tradisi Sobek/Cantik Kebangsaan.

“Kategori Pertandingan Membuat Wau Tradisi Kebangsaan (Berpasangan) ialah Wau Tradisi Bengkel Kebangsaan (Membuat) dan Wau Tradisi Bengkel Kebangsaan (Menaik).

“Berikutnya kategori Pesta Wau Bercahaya (Tempatan) dan Pertandingan Mewarna Sekolah Rendah Kelantan tahap 1 dan tahap 2 peringkat Negeri Kelantan,” katanya.

Ujarnya, untuk memeriahkan lagi program pihak penganjur turut mengadakan pameran seperti produk warisan, pameran dan permainan rakyat Kelantan, demonstrasi masakan tradisional, demonstrasi wau, pameran dan jualan produk kraf tangan, pameran dan jualan produk IKS dan demonstrasi pembuatan seni kreatif.

Selain itu katanya, persembahan kebudayaan juga akan diadakan seperti rebana ubi, gasing pangkah, kertok kelapa, dikir barat, gasing terbang, seni silat, persembahan api dan nyanyian artis tempatan.

Pesta Wau Kebangsaan Kelantan 2023 akan berlangsung bermula pada 7 September hingga 9 September 2023 di Pantai Geting, Tumpat.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah pada hari terakhir akan disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.