14 September 2023, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Yang Berhormat Mulia (YBM) Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato’ Haji Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023 pada pagi tadi.

YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato’ Haji Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz ketika berucap menyempurnakan perasmian program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023.

Turut berangkat bersama-sama mengiringi YBM Tengku Temenggong Kelantan ialah Yang Mulia (YM) Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) sempena sambutan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Kelantan ini diadakan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra.

YM Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut berangkat ke program pada pagi tadi.

Menerusi ucapan perasmiannya, YBM Tengku Temenggong Kelantan yang juga merangkap Yang Dipertua MAIK bertitah menyatakan bahawa penganjuran program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023 yang bertajuk Tok Kenali: Ketokohan, Pemikiran dan Sumbangannya dalam Bidang Persuratan ini penting untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda agar mengenali tokoh terkemuka tempatan dan menghargai jasa bakti, sejarah perjuangan dan warisan persuratan serta ilmu dan pemikirannya.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam program yang diadakan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra.

“Penganjuran program ini yang merupakan wacana ilmu, sangat menepati konsep DMK. Oleh itu, melalui perkongsian ilmu oleh penyampai syarahan melalui hasil kajian dan penyelidikan beliau diharapkan mampu menyemarakkan budaya minat membaca dalam kalangan masyarakat kita,” tambah YBM Tengku Temenggong Kelantan.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari menerusi ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa A.Kadir Adabi merupakan tokoh pemikir yang mendahului zamannya, manakala Tok Kenali merupakan tokoh ulama yang antara jasa bakti terbesarnya yang dapat dilihat sehingga hari ini ialah penubuhan MAIK. “Tok Kenali adalah salah seorang pelopor penubuhan MAIK pada tahun 1915, oleh itu sumbangan dan pemikiran kedua-dua tokoh ini wajar dihargai dan dibanggakan oleh generasi kini dan akan datang.”

Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023 pada kali ini disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Fadli Ghani yang merupakan seorang tokoh penyelidik yang kini bertugas di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

YBhg. Ustaz Mohd Fadli Ghani ketika menyampaikan syarahannya yang bertajuk Tok Kenali: Ketokohan, Pemikiran dan Sumbangannya dalam Bidang Persuratan.

Pada program yang sama, YBM Tengku Temenggong Kelantan turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku Naskhah Sejarah Kelantan: Transliterasi dan Anotasi dan Cakerawala Islam Nusantara terbitan MAIK dan buku Biografi Ulama Malaysia: Nik Mohd Mohyideen Wan Musa Perintis Pendidikan Islam di Malaysia terbitan DBP.

Turut hadir pada program tersebut ialah Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan; Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohamad Shukri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua MAIK; YBrs, Tuan Haji Zulkifle Ab Rahman, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan; YAA Tuan Haji ibrahim Deris, Presiden PERADABAN; YBhg, Dato’ Haji A. Aziz Deraman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan); YM Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Tetamu yang hadir dalam program Syarahan Perdana A.Kadir Adabi 2023.

 

Foto: Adib DBP

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.