Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga sedang bertungkus lumus menjalani latihan sebagai persediaan untuk pementasan teater Gila karya Fairul Pujangga, adaptasi dan arahan Aninda Nurtedja Ian Andika. Pementasan akan bermula pada 23 September hingga 24 September 2023 bertempat di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.
Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Azam Muhamad (Che Mat), Arjuna Aiman, Sani Brosan, Tuah Iskandar, Tun Anggerik dan Syazwan Syazan. Walaupun menjalani latihan yang singkat namun setiap pelakon memberikan komitmen sepenuh hati agar pementasan dapat berlangsung dengan lancar.
Kita dapat melihat pementasan teater di Perlis semakin suram apabila kurangnya pertubuhan teater yang aktif seperti zaman kegemilangannya dahulu. Oleh itu, Sanggar Pujangga ingin mengembalikan semula kegemilangan teater di Perlis dengan memilih karya Fairul Pujangga untuk pementasan pada tahun ini sebagai cabaran kepada mereka.
Karya Gila mengisahkan ahli Persatuan Orang Gempak yang dianggap gila oleh masyarakat. Namun, bagi ahli Persatuan Orang Gempak, masyarakat di luar sanalah sebenarnya yang gila kerana tidak memahami mereka. Setiap ahli Persatuan Orang Gempak mempunyai kisah tersendiri punca mereka memilih untuk mengasingkan diri. Karya Gila cuba merungkai kebenaran dan kejelasan punca penyebab di sebalik istilah gila dilabelkan masyarakat.
Semoga pementasan pada kali ini mendapat sambutan hangat dan perhatian daripada orang ramai. Fokus pementasan ini juga bertujuan membentuk generasi muda yang datang agar dapat melibatkan diri bagi menonjolkan bakat mereka pada masa akan datang.