22 September 2023, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tumpat – Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) kembali lagi pada tahun ini menemui rakyat negeri Kelantan dan berlangsung selama tiga hari berturut-turut mulai 21 September 2023 hingga 23 September 2023 di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan.

Poster Festival Kesenian Rakyat Kelate 2023 (FKRK 2023).

FKRK 2023 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kesenian Negara (JKKN) ini merupakan acara tahunan yang mula dilaksanakan sejak tahun 2017 dan bertujuan menampilkan keunikan dan kepelbagaian warisan seni budaya negeri Kelantan.

Menurut Pengarah Unit Komunikasi Korporat JKKN, Puan Mazidah Mustapha melalui kenyataan media baru-baru ini, “Penganjuran festival ini merupakan sebahagian daripada usaha JKKN untuk terus memelihara dan memulihara seni budaya dan warisan tradisional yang unik di negeri tersebut.”

Tinjauan pasukan media JendelaDBP pada hari kedua festival mendapati para pengunjung mula berpusu-pusu membanjiri Pantai Geting bermula pada pukul 4.30 petang dan rata-rata datang bersama-sama keluarga untuk memanfaatkan cuti hujung minggu.

Hari kedua festival memberikan tumpuan kepada Pertandingan Gendang Panjang atau Klong Yao Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Pentas Utama yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Budaya Sri Gelam, Tumpat.

Kumpulan Gendang Panjang Pasir Mas antara pasukan yang bertanding daripada enam buah pasukan dari Kelantan dan Thailand.

Pertandingan tersebut yang mengangkat seni muzik dan budaya masyarakat Siam sekali gus menampilkan keunikan dan kepelbagaian budaya serta kaum yang terdapat di negeri Kelantan.

Gelagat para pengunjung yang sedang menyaksikan Pertandingan Gendang Panjang (Klong Yao) Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Pentas Utama.

Antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang tiga hari ini termasuklah persembahan dan pertandingan kesenian negeri Kelantan seperti dikir barat, wayang kulit, makyung dan gendang Simfoni Kelate serta demonstrasi sukan rakyat Kelantan.

Selain daripada pengisian yang berkaitan dengan seni dan warisan tradisional Kelantan, FKRK 2023 pada tahun ini turut mengetengahkan elemen masa kini selari dengan perkembangan teknologi yang dapat menarik perhatian anak muda Kelantan seperti Pertandingan E-Sukan dan penganjuran beberapa acara melalui aplikasi TikTok.

Demonstrasi pembuatan wau di FKRK 2023.

Pasukan Ujana Buku Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) juga tidak melepaskan peluang untuk membuat promosi dan jualan bahan terbitan DBP kepada para pengunjung festival.

Temui Ujana Buku DBPWT di pekarangan tempat letak kereta FKRK 2023.

Untuk rekod, pada tahun 2022, FKRK mencatat bilangan pengunjung sebanyak 55 841 orang selama tiga hari penganjuran dengan pulangan pelaburan (ROI) pendapatan sebanyak lebih RM164 ribu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.