Oleh Abd Razak Osman
24 September 2023, 18:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Majlis Pelancaran Festival Kraf Utara (FKU) 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah berlangsung bertempat di Pentas Utama Festival Kraf Utara Cawangan Perlis, Jalan Kuala Perlis, Kangar, Perlis. Festival yang berlangsung bermula 23 September 2023 hingga 1 Oktober 2023 ini dianjurkan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Perlis.

Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman disambut oleh ‘Ainu Sham Ramli bagi merasmikan Festival Kraf Utara 2023.

Tujuan penganjuran FKU 2023 diadakan untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat dan pelancong bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’. YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), dalam ucapan perasmiannya menyifatkan penganjuran festival ini memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk melihat sendiri dan mendapat pelbagai manfaat daripada festival ini.

Memetik ucapan beliau

Menariknya, Festival Kraf Utara (FKU) 2023 julung kali diadakan di negeri Perlis melibatkan penyertaan Kraftangan Malaysia cawangan Kedah, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak

Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman berkunjung ke gerai pameran batik.

FKU 2023 menampilkan pelbagai produk kraf Malaysia yang terdapat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia selari dengan konsep FKU 2023 iaitu ‘Membudayakan Seni Kraf Malaysia’ dalam kehidupan masyarakat seharian.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuklah Jualan Kraf, Demonstrasi Kraf, Interaktif Kraf, Pameran Produk Kraf Baharu, Persembahan Kebudayaan, Cakna Kraf Mewarna Batik, Pertandingan Kraf, Zumba Kraf Utara, Program Derma Darah, Demonstrasi Masakan Utara dan lain-lain.

Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman berbual dengan seorang peserta di Festival Kraf Utara 2023.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan `Ainu Sham Ramli dalam uacapannya berkata, penganjuran FKU 2023 ini melibatkan 60 orang usahawan dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM400 000 dengan sasaran kehadiran 15 000 orang pengunjung.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, YB Wan Badariah Wan Saad, Penasihat Undang-undang Negeri Perlis, YB Mohd Radhi Abas, Ahli Parlimen Kangar, YB Zakri Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Encik Abdul Halim Ali dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Perlis, Encik Mohd Shahrir Mohd Ramli.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.