18 Oktober 2023, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam  Anugerah Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan tahun 2023. Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan di Summit Hotel Subang USJ pada 15 Oktober 2023 bersempena dengan Konvensyen MyChampion @ KKM.

Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr. Arnie A Rahim mewakili UMT bagi menerima hadiah berupa wang tunai RM2,000.00 dan sijil penyertaan. Pertandingan tersebut merupakan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

UMT melalui PKU dengan kerjasama fakulti, kolej kediaman dan pejabat pembangunan dan harta (PPH) telah memainkan peranan yang signifikan bagi melayakkan UMT disenarai pendek dalam penjurian lapangan yang diadakan pada 25 September 2023.

Antara tempat yang dilawati dan dinilai ialah Bangunan Canselori, Institut Adaptasi Iklim Dan Bioteknologi Marin dan Blok Ibnu Hibban, kolej kediaman dan persekitaran UMT.

Pengarah PKU UMT, Dr. Arnie A Rahim (dua dari kanan) bergambar kenang-kenangan di IMB yang menyediakan sudut infomasi tentang kesedaran pencegahan wabak denggi dan nyamuk aedes.

Pembentangan laporan dan pemeriksaan melibatkan dokumen berkaitan pelibatan serta pengendalian semua pihak pengurusan UMT dalam usaha membanteras wabak denggi, aktiviti kebersihan dalam kampus dan komuniti sekitar, program kesedaran dan projek inovasi yang berkaitan.

Barisan juri pertandingan diwakili oleh pegawai dari KPKT, KKM dan KPM. Pemeriksaan turut memastikan tiada bekas dan kawasan berpotensi menakung air serta tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan di luar bangunan.

Terdahulu, para juri diberikan taklimat secara menyeluruh tentang aktiviti yang dilaksanakan oleh UMT dalam menjayakan pertandingan tersebut. Turut memberikan sokongan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMT, Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin dan Pendaftar, Tuan Haji Zukiferee Ibrahim.

UMT merupakan antara enam IPT yang terpilih untuk ke peringkat akhir selain Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Turut terlibat ialah Kolej Matrikulasi Perak, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi MARA cawangan Selangor.

Tempat pertama telah dimenangi oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor manakala naib johan disandang oleh Kolej Matrikulasi Perak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.