Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggalakkan para murid untuk terlibat dengan aktiviti di luar kelas, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut mahu melihat para murid dan guru bergiat aktif dalam aktiviti seni persembahan, termasuklah teater.
Pelibatan para murid dalam Sayembara Teater 10 minit Sekolah Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2023 ini bertepatan dengan hasrat KPM agar pelajar aktif dengan aktiviti di luar sekolah seperti teater dan seni persembahan lain, serta melakukan lawatan sambil belajar untuk menikmati sisi dan dimensi pendidikan dalam konteks di luar kelas.
Beliau turut menyatakan bahawa teater ialah medium pendidikan yang sangat baik kerana diselitkan dengan elemen didik hibur dan unsur kecindan. Hal ini membolehkan sesuatu mesej disampaikan dengan lebih berkesan selain dapat meningkatkan kemahiran pembacaan, komunikasi serta perasaan empati para murid.
YB Fadhlina Sidek berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sayembara Teater 10 Minit Sekolah Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tengah hari tadi.
Sementara itu, menerusi ucapan alu-aluan, Sasterawan Negara (SN) yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan menyatakan bahawa DBP akan terus menggiatkan lagi penganjuran program mencungkil dan membina bakat berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat.
“Bagi pihak DBP, kami akan terus menyokong KPM dengan memberikan penekanan kepada aspek karamah insaniah, iaitu dengan memberikan penekanan kepada pembentukan karakter, adab, akhlak, disiplin dan integriti melalui penganjuran pertandingan seperti ini,” kata SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan.
SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan turut menyatakan bahawa penganjuran aktiviti seperti Sayembara Teater 10 Minit Sekolah Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2023 ini bertujuan untuk memberikan pembugaran kepada khalayak sastera dalam kalangan kanak-kanak untuk terus komited serta bergerak secara sederap dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu di Malaysia, selain merupakan salah satu usaha berterusan untuk memastikan DBP menjadi gelanggang dan medan kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha pembinaan tamadun bangsa.
Menerusi sayembara tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor dinobatkan sebagai johan Sayembara Teater 10 Minit Sekolah Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2023 dengan persembahan teater yang bertajuk Jebat Tak Mati. Tempat kedua pula dimenangi oleh SK Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur dengan teater berjudul Jangan Buka Lampu. Sementara itu, Teater Konflik membawa tuah kepada SK Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor yang merangkul hadiah tempat ketiga.
Tujuh kumpulan lain yang turut bertanding pulang dengan hadiah sagu hati, iaitu kumpulan dari SK Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan; SK Ayer Molek, Melaka; SK Batu Melintang, Tapah, Perak; SK Pauh Jaya, Pulau Pinang; SK Dangi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; SK Sungai Isap Murni, Kuantan, Pahang; dan SK Paya Kemunting, Jitra, Kedah.
Sementara itu, Muhammad Haziq Zufayri Norddin dari SK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor, muncul sebagai Pengarah Terbaik. Anugerah Pelakon Terbaik pula dimenangi oleh Darwish Nur Aiman Norfadzli Shah yang membawakan watak Hang Nadim dalam teater Jebat Tak Mati.
Sayembara Teater 10 Minit Sekolah Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2023 merupakan acara yang dianjurkan oleh DBP menerusi Persatuan Badan Budaya DBP dengan kerjasama KPM, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK).
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Ketua Pengarah JKKN, Encik Amran Mohd Haris; dan Timbalan Pengarah, BSKK, Encik Shahbani Othman.