22 Oktober 2023, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Tanggal 20 dan 21 Oktober 2023 menjadi lembaran bermakna kepada perkembangan arena sastera di Johor Bahru khususnya di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Pertubuhan Titian Teater Ilham Seni (TITIS), Universiti Teknologi Malaysia dan Pertubuhan Seni Nusantara (Nu. Art) telah menjayakan Program Apresiasi Seni Sasterawan Negara (SN) Datuk Seri Dr. A. Samad Said dengan melaksanakan pelbagai kegiatan dan program.

Kegiatan yang dilaksanakan ini telah berjaya menarik minat penyertaan pelajar Fakulti Alam Bina dan Ukur untuk turut sama mengapresiasi naskhah “Rumah Kosong” dalam Pertandingan “Dari Kata Ke Kanvas”.

Antara babak dalam teater “Rumah Kosong” oleh TITIS di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM, Skudai, Johor Bahru, Johor.

Pertandingan ini telah disertai oleh pelajar-pelajar tahun satu Sarjana Muda Sains Senibina dan Sarjana Muda Senibina Landskap dengan mengadaptasi karya puisi ke seni kanvas. β€œIa merupakan sebahagian daripada pengisian akademik yang menggalakkan pemahaman ke atas karya asli, kemudian digarap sebagai satu kaedah ekspresi diri yang mencabar kreativiti pelajar,” menurut Ts. Dr. Azari Mat Yasir, Pensyarah Senibina merangkap penyelaras program teater ini bagi pihak UTM.

Keputusan pertandingan seperti berikut:

Johan – Kuah Ying Hui
Kedua – Laura Nicole Freddie
Ketiga – Nurul Amelia Nazeera binti Nazri

Sagu Hati

(i) Ainnur Syafiqah binti Ahmad Ridzuan
(ii) Amirul bin Abd. Hamid
(iii) Aina Umairah binti Mohd Zainuri
(iv) Muhammad Ismail Muiz bin Mhd Nor
(v) Tjut Naqeesha binti Muzzilsyah

Peserta dalam bulatan semasa sesi Wacana Interaktif Naskhah Teater “Rumah Kosong” yang dikendalikan oleh TITIS.

Hakim pertandingan yang disertai oleh 70 karya kreatif pelajar ini terdiri daripada juri utama iaitu Dr. Ahmad Saifuddin Abdullah dan Dr. Roshida Abdul Majid. Barisan juri sekunder pula terdiri daripada Ts. Dr. Azari Mat Yasir, Dr. Azalillah Ramdani Musa, Ts. Dr. Muhamad Faizal Abdul Rani dan Dr. Fawazul Khair Ibrahim.

Pementasan Teater “Rumah Kosong” berdurasi 45 minit yang dijayakan oleh TITIS dan Nu. Art merupakan puisi teater yang digarap dengan elemen muzik dan kesan bunyi, bagi memberikan impak kepada teater berkonsepkan mini arena ini.

Selain pertandingan dan pementasan teater, para peminat teater di UTM juga berpeluang mengikuti Wacana Interaktif Naskhah Teater “Rumah Kosong” yang telah diteraju oleh tiga orang pembimbing dari TITIS dan Nu. Art. Peserta yang teruja mengikuti wacana interaktif ini mempersembahkan fragmen mereka pada akhir sesi wacana.

Antara karya pelajar dalam Pertandingan “Dari Kata ke Kanvas”.

Sesi sebelah malam pada 21 Oktober 2023 telah berlangsung Wacana Pementasan Teater “Rumah Kosong”. Wacana ini menampilkan Muhd Saiful Ridhwan bin Mohamed Syukor sebagai moderator dan Iryanda Mulia Irwadi (Pengarah Teater) serta Sharul Nizam Samsudin sebagai ahli panel.

Turut hadir menyaksikan pementasan ini ialah Prof Sr. Dr. Kherun Nita binti Ali, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM dan Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan.

Teater “Rumah Kosong” merupakan merupakan sebuah adaptasi karya himpunan puisi-puisi oleh SN Datuk Seri Dr. A. Samad Said, penulis skrip oleh Maimumah A. Bakar dan Pengarah Teater oleh Iryanda Mulia Irwadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.