31 Oktober 2023, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Aturcara Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023.

Kuala Lumpur – Istana Budaya julung kalinya akan menganjurkan program Laman Santai terbesar, iaitu Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023 di Laman Beringin, Istana Budaya pada 4 dan 5 November 2023 akan datang.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Istana Budaya sentiasa bersifat terbuka dan komited dalam menyatupadukan masyarakat sehingga ke akar umbi dan tidak mengira bangsa, terutama sekali dalam memperkasakan seni warisan dan budaya agar dapat dipelihara, khususnya dalam festival Laman Santai Malaysia Madani 2023 ini.

Festival yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 11 malam ini berkonsepkan santai dan terbuka kepada masyarakat, sambil dihidangkan dengan pelbagai acara seni warisan dan budaya, seperti makanan warisan, bengkel muzik borneo, demonstrasi silat, solekan, orang asli, jom belajar seni budaya, persembahan barongan, kuda kepang, peragaan busana tradisional, baju kebaya dan karaoke santai.

Antara artis undangan yang bakal menggegarkan persembahan utama malam Laman Santai 2023 ini termasuklah Dato’ Hattan, Suki Low, Khai Bahar, Roy Kapilla, Rahmad Mega, Rahimah Rahim, Haziq dan ramai lagi.

Istana Budaya turut mengundang sekumpulan anak seni dari Borneo, seperti Tuku’ Kame’, Alun Menoa (Wanita Sape) dan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES), untuk mengetengahkan alunan muzik dan persembahan dari Bumi Kenyalang, Sarawak sebagai usaha menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui seni budaya.

Istana Budaya turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan radio SINAR sebagai radio rasmi rasmi festival ini dengan menampilkan selebriti SINAR.fm, seperti Falyq dan Putra, sebagai pengacara aktiviti siang, dan Dina Nadzir sebagai pengacara persembahan utama pada malam festival.

Para pengunjung yang hadir bakal menikmati pelbagai promosi dan peluang yang disediakan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang turut serta menjayakan festival ini. Antara agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Warisan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Orang ramai, terutamanya warga kota, dijemput hadir bagi memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023. Maklumat terperinci berkaitan festival dapat diperoleh dengan melayari portal dan media sosial Istana Budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.