3 November 2023, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Wacana Etnosains dan Teknologi Siri Ketiga: Kearifan Tempatan dalam Seni Bina Alam Melayu yang menampilkan tiga orang panel di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini merungkai banyak persoalan berkaitan seni bina masyarakat Melayu.

Dalam wacana ini, Prof. Madya Ts. Dr. Fazdliel Aswad Ibrahim menyatakan bahawa falsafah seni bina alam Melayu ditunjangi oleh empat elemen iaitu pengaruh luar; nilai, adat dan budaya; kepercayaan; dan kebijaksanaan.

Mengulas lebih lanjut berkenaan elemen pengaruh luar, beliau berkata kedatangan Islam selepas pengaruh Hindu Buddha telah mengubah landskap seni bina alam Melayu kepada konsep ketauhidan, iaitu konsep ketuhanan dengan memecahkan konsep spiritual kepada ruang dan bentuk pada sesuatu perlambangan tertentu.

“Sebagai contoh, bumbung limas. Sebenarnya bumbung limas ini datangnya daripada pengaruh Belanda. Namun, boleh ditukarkan daripada pengaruh itu kepada falsafah orang Melayu.

“Bumbung limas ini berbentuk segi tiga, semakin bawah, semakin besar, semakin atas, semakin tinggi, itu menunjukkan dalam kita (manusia) ramai-ramai ini, akhirnya kita pergi ke atas (iaitu kembali kepada Allah), itulah prinsip yang cuba diterapkan dalam seni bina tersebut,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa reka bentuk rumah dahulu juga menerapkan konsep menjaga batas pergaulan dan meraikan tetamu dengan memisahkan ruang rumah kepada beberapa bahagian tertentu, seperti ruangan serambi, rumah ibu, pelantar, dan dapur.

Terdahulu, wacana ini turut menampilkan dua orang panel yang lain iaitu Profesor Dr. Ahmad Sanusi Hassan dan Dr. Hasrina Baharum serta dipengerusikan oleh Encik Pian a/l Pro Poul.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, iaitu Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.