11 November 2023, 20:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Filem Pendek Adaptasi Cerpen DBP Tahun 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP diiringi oleh Encik Mohd. Izzat Hassan, Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA serta Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.

Melalui ucapannya. YBrs. Dr. Hazami menjelaskan bahawa pertandingan tersebut memenuhi salah satu rukun dalam gagasan Malaysia MADANI, iaitu daya cipta yang menjurus kepada pembaharuan, reka cipta, dan reka baharu.

Selain itu tambahnya lagi migrasi kandungan daripada teks ke visual merupakan strategi ampuh dan terbukti dalam menyampaikan pemikiran, mesej dan juga suara hati pengkarya melalui karya yang dihasilkan kepada masyarakat.

Terdahulu, Encik Mohd. Izzat menerusi ucapan alu-aluannya mendedikasikan penghargaan kepada DBP atas kerjasama penganjuran pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan.

Beliau menyifatkan kerjasama antara DBP dengan ASWARA tersebut adalah seperti hubungan adik-beradik, dan turut meneliti bahawa cerpen ialah sumber inspirasi yang berharga, dan adaptasi karya cerpen kepada bentuk filem ialah manifestasi kreativiti yang luar biasa. Kreativiti ialah aset berharga dalam industri penciptaan kandungan, jelasnya lagi.

Pertandingan Filem Pendek Adaptasi Cerpen DBP 2023 tersebut telah memilih cerpen berjudul “Kisah Sarah Leong”, karya Malim Ghazali PK, “Jerung Bursa”, karya Azimah Nordin dan “Kasut”, nukilan Rebecca Ilham oleh peserta pertandingan untuk diadaptasi kepada filem pendek.

Sebanyak 18 penyertaan telah diterima oleh DBP dan sebanyak 12 kumpulan layak diberikan penilaian ke peringkat akhir.

Sebanyak 17 anugerah telah dihadiahkan kepada para pemenang termasuk hadiah saguhati kepada empat pemenang dan tiga pemenang utama.

Tempat pertama dimenangi oleh Kazeash (Kasut). Tempat kedua pula dimenangi oleh Bikin Story Production (Jerung Bursa) dan Zocket. Inc (Kasut) pula memenangi tempat ketiga. Sementara itu, Suha Fairus dari Bikin Story Production dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, manakala Dina yang juga dari Bikin Story Production muncul sebagai Pelakon Terbaik.

Hakim pertandingan ialah Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah, A. Wahab Hamzah yang merupakan aktivis teater serta pengkritik filem antarabangsa dan tempatan serta Ghulam Saffi Khan, Pensyarah ASWARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.