Oleh Abd Razak Osman
15 November 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Program Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia Peringkat Negeri Perlis 2023 bertajuk “Belia MADANI Melestarikan Perpaduan” berlangsung di Auditorium Canselori, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kangar, Perlis semalam.

Program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 200 orang peserta yang mewakili Sekretariat Rukun Negara dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Pengerusi-Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Perlis.

Datuk Azman Mohd Yusof berucap merasmikan Program Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia Peringkat Negeri Perlis 2023.

Program diskusi itu menampilkan barisan peserta berpengalaman, Syahirunnisa Ramli, Ahli Parlimen Belia Malaysia; Danesh Raj Nagarajan, selaku wakil rasmi Belia ASEAN dan Malaysia ke G20 India 2023; Wan Mohd Ryan Rohidar, juruhebah radio; dan Ahmad Syauqi Amar Muhamad sebagai moderator.

Peserta berpeluang mengikuti pelbagai kupasan menarik daripada penceramah dalam usaha memperkukuh dan memantapkan pemahaman, penghayatan, pengamalan Rukun Negara, nilai jati diri serta semangat kebersamaan dalam kalangan belia khususnya mahasiswa di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof ketika merasmikan program itu berkata, untuk membina sebuah bangsa berjaya, semua pihak perlu seiring dan sekata dalam memperkukuh perpaduan serta kesepaduan sosial dalam kepelbagaian etnik, agama dan kerencaman budaya.

“Banyak cabaran berlaku di persekitaran kita dari semasa ke semasa untuk diselesaikan dengan cara berhemah dan program yang dilaksanakan ini boleh membawa pelbagai kebaikan jika terus dihayati oleh semua peserta.”

Ahmad Syauqi Amar Muhamad (kiri) sebagai moderator Program Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 bersama ahli panel, Danesh Raj Nagarajan, Syahirunnisa Ramli dan Wan Mohd Ryan Rohidar.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perlis, Hanita Ahmad pula berkata,

“Saya gembira sekali kerana program disusun untuk melahirkan generasi muda berketerampilan di peringkat negeri Perlis serta mendapat sambutan baik yang memberikan manfaat kepada peserta.”

Yang turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional JPNIN, Puan Fairojibanu Zainal Abidin dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UniMAP, YBhg. Profesor Madya Ir Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.