Oleh Izzat Isa
16 November 2023, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Program Perkampungan Pelancongan Seni atau Tourism Art Village di Langkawi Century Lodge 2, Kampung Bohor, Langkawi diadakan pada 9 hingga 10 November lalu.

Pengunjung menyaksikan antara pameran yang diadakan.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Langkawi Tourism Malaysia, Mohd Fahmi Nordin; Pegawai Bahagian Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi, Shajiddeen Shaari; dan wakil Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Mohd Zharif Alias.

Pihak penganjur menyatakan objektif utama program tersebut adalah bagi mengangkat dan memperkenalkan seni budaya kepada rakyat Malaysia dan pelancong supaya tidak luput ditelan zaman seiring dengan kemodenan pada hari ini.

Pelbagai acara disediakan bagi memeriahkan program seperti pertandingan karaoke lagu-lagu klasik dan tradisional Melayu, pertandingan deklamasi sajak, pertandingan melukis dan mewarna, demonstrasi dan jualan masakan tradisional Melayu.

Selain itu, turut juga dianjurkan demonstrasi permainan tradisional, jualan produk kraf tangan, jualan produk berasaskan gamat, pameran dan jualan oleh NADY (Networking Action for Disabled Youths), bengkel lakonan, bengkel muzik, bengkel tari, pertunjukan busana tradisional, pameran senjata tradisional oleh Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi, demonstrasi persilatan, demonstrasi seni tari tradisional, demonstrasi seni lukis tulisan khat dan mencanting batik, pembuatan pasu perak, demonstrasi muzik tradisional dan aktiviti gotong-royong memasak dodol.

Dendangan syair oleh YBhg. Dato’ Tarmimi Siregar.

Bagi melengkapkan program, turut diadakan sesi santai bersama seniman tanah air, iaitu sesi bersama dengan Amran Nasrudin (Produksi), Alia Mokhtar (penari tarian tradisional), Mubarak Majid (pelakon), Syed Basel (penyanyi dan pemuzik), Md Salleh Dawam (pelukis seni halus dan khat) dan YBhg. Dato’ Tarmimi Siregar (pelakon dan pengarah).

Majlis penutup, iaitu Malam Gala Menimbang Rasa disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kerajaan Negeri Kedah iaitu YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin.

Dalam ucapannya beliau berharap program seperti ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Pulau Langkawi. Pada malam tersebut, persembahan seperti tarian tradisional, nyanyian lagu tradisional dan irama Malaysia, deklamasi puisi dan syair telah dipersembahkan selain turut diadakan sesi kutipan derma untuk sumbangan kepada tabung kemanusiaan Palestin.

Peragaan busana tradisional oleh pelancong dari luar negara.

Selebriti tempatan juga turut hadir bagi memeriahkan majlis, antaranya termasuklah Fredo, Dato’ Siti Fairus, Mat Over, Keena Mentor, Areel Abu Bakar, DJ Ady Suwardy dari Radio Klasik, DJ Suria dari Kedah FM dan ramai lagi. Program Perkampungan Pelancongan Seni tersebut merupakan anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR), disokong oleh Tourism Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi, Kompleks Kraftangan Langkawi dan Langkawi Century Lodge.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.