Oleh Abd Razak Osman
25 November 2023, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Karnival Jerai Geopark yang berlangsung buat pertama kalinya dengan tema “Warisan Selayar” bermula pada 24 November 2023 hingga 26 November 2023 memberikan pendedahan kepada para pengunjung tentang taman geologi terutamanya Gunung Jerai yang merupakan tapak warisan geologi tertua di Malaysia.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, YBhg. Dato’ Hj Mohd Fauzi Mustaffa ketika merasmikan karnival itu berkata bahawa, Jerai Geopark telah dimasyhurkan pada 18 Julai 2017 lalu oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Al Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di kaki Gunung Jerai setelah Jawatankuasa Geopark Kebangsaan meluluskan (melalui Penyataan Rasmi) status sebagai Geopark Kebangsaan pada Jun 2016, lalu.

Jerai Geopark yang keluasannya mencecah 816 km persegi (laut 315 km persegi dan darat 501 km persegi) ini sebahagiannya terdiri dari daerah Kuala Muda dan sebahagiannya lagi dari daerah Yan. Lokasi ini bakal menarik perhatian pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025 nanti.

Katanya lagi, penganjuran program seperti ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk mengangkat beberapa elemen “warisan tidak ketara” yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada Jerai Geopark untuk dicalonkan sebagai Geopark Global pada masa akan datang.

Pengerusi Jerai Geopark, Encik Mohd Amin Ali berkata bahawa, banyak pihak yang turut memberikan kerjasama terhadap program anjuran Unit Pengurusan Jerai Geopark Kedah dengan melibatkan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Pejabat Daerah & Tanah daerah Kuala Muda dan Yan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Layar serta Jawatankuasa Gelanggang Silat Taman Melor Sungai Petani.

Katanya, penganjuran kali ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan kerana turut melibatkan wakil taman geologi dari seluruh Malaysia seperti Langkawi Global Geopark, Gombak/Hulu Langat Geopark, Lenggong Geopark, Lembah Kinta Geopark serta beberapa agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Fakulti Seni UiTM Kedah, Ancient Heritage Resources, Koperasi Laguna Merbok dan Koperasi Pelancongan Lembah Bujang.

Masyarakat tempatan boleh mendapat pelbagai manfaat sekiranya pandai memainkan peranan utama dalam bidang ekonomi melalui sektor pelancongan di kawasan Jerai Geopark.

Sebagai rekod, Gunung Jerai mempunyai warisan geologi tertua di Malaysia, iaitu sejak 500 juta tahun lampau (Zaman Kambria) sebaris dengan usia batuan Gunung Mat Chincang di Langkawi.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Encik Ilias Shuib; Pegawai Daerah Yan, Puan Maznim Ismail; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Dato’ Haji Muhamad Arof Darus; Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Tuan Azizan Ali; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Encik Muhammad Abdullah dan Penasihat Program Karnival Jerai Geopark merangkap mantan pengerusi Geopark Kebangsaan, Dato’ Dr. Prof Mokhtar Saidin.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Encik Ilias Shuib (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, YBhg. Dato’ Hj Mohd Fauzi Mustaffa (kanan) selepas merasmikan Karnival Jerai Geopark.

Karnival Jerai Geopark ini berlangsung di perkarangan Kompleks Pelancongan Sungai Merbok Jeti Semeling, Sungai Petani dan akan mula dikenali sebagai Pusat Penerokaan Jerai Geopark bermula pada hari ini.

Kompleks Pelancongan Sungai Merbok yang dibina pada tahun 2009 melalui peruntukan Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC) kini mempunyai pelbagai kemudahan seperti galeri sejarah, biodiversiti dan galeri Jerai Geopark, restoran, tempat letak kenderaan, surau, tandas dan pelbagai fasiliti lain bagi memudahkan pengunjung yang hadir.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.