Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh dua orang guru, iaitu Allahyarham Muhamad Zaidin Hussin atau lebih dikenali sebagai Zack Zaiden dan Normaziah Yaacob pada tahun 2001. ASPEK kemudian didaftarkan secara rasmi pada 29 Mei 2007 di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kelantan dan kini mencapai keahlian melebihi 200 orang.
Pada tahun 2001, ASPEK dianggotai oleh 25 orang ahli terdiri dalam kalangan guru, pelajar, belia dan ahli keluarga yang turut menyatakan sokongan. Pada tahun yang sama juga, ASPEK telah dinobatkan sebagai johan negeri dengan beberapa anugerah sampingan dan berjaya membawa pulang anugerah pada peringkat kebangsaan. Semenjak itu, tanpa menoleh ke belakang, ASPEK terus melangkah mencapai kejayaan demi kejayaan dalam bidang persembahan teater mengharumkan nama Kelantan pada peringkat kebangsaan.
Antara kejayaan ASPEK dalam bidang teater ialah Zack Zaiden diberikan tanggungjawab selaku penulis skrip dan pengarah Bangsawan Diraja Puteri Saadong pada Mei 2019. Menggunakan hampir 100 tenaga produksi, pementasan besar ini menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Amar Asyraf yang membawakan watak Raja Abdullah dan Wan Hanafi Su sebagai Raja Loyor. Tidak ketinggalan bakat yang sentiasa berkembang Dyna Lova yang membawakan watak utama sebagai Puteri Saadong, Sawas Haida memegang watak Cik Siti Wan Kembang, Muhamad Maaruf sebagai Raja Bahar, Haddi Al Haq sebagai Penghulu Ngah Jembal serta beberapa orang pelakon lain.
Pada tahun 2017, ASPEK dan Anak Seni Selangor (ANSES) berganding bahu mengelola persembahan Di Hujung Nyawa: Leftenan Adnan Saidi. ASPEK juga bersama-sama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan mempersembahkan pementasan Teater Bangsawan Kemala Sakti Kesuma Ningrat bersempena dengan Program Semarak Bangsawan 2012. ASPEK turut mewakili Kelantan dalam Festival Teater Malaysia 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan membawakan pementasan Iyakah Tok Janggut?
Selain menguruskan pementasan teater, ASPEK menganjurkan secara tahunan Bengkel Produksi Teater dan terbaharu pada 1 hingga 3 November 2023 lalu bertempat di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. Program ini anjuran ASPEK dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).
Yang Dipertua ASPEK, Noormaziah Yaacob berkata bengkel ini bertujuan mendidik para peserta terutama dalam kalangan guru menghasilkan karya dan pementasan yang berkualiti terutama dalam pertandingan teater peringkat sekolah atau negeri untuk dipersembahkan kepada khalayak. Bengkel ini juga menggabungkan dan memajukan penggiat dalam bidang seni teater, tarian dan kesusasteraan khususnya yang terlibat dalam dunia pendidikan, aktiviti atau program bercorak kebudayaan serta keilmuan.
Ujar beliau, teater bukan sekadar pentas lakonan dan ASPEK mengharapkan agar para peserta memperjuangkan dan memperkembangkan karya berunsur seni budaya dan sastera supaya terus menjadi warisan bangsa yang berharga, mengangkat martabat dan nama penggiat seni. Hal tersebut secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dan silaturahim yang utuh dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui kegiatan bercirikan kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan tempatan.
Dato’ Arisz Ab Rahman, Penasihat ASPEK yang merupakan penerbit drama dan filem, Pengarah Urusan Kalamariff Holdings Sdn. Bhd., Penasihat Eksekutif Mache Allstar United Sdn. Bhd serta Presiden Solidariti Seni Budaya Warisan Malaysia ditemui sewaktu merasmikan program Bengkel Produksi Teater 2023, berkata, “Pada tahun 1994 ketika bersekolah di SMK Hamzah, Machang, saya salah seorang murid Cikgu Zack Zaiden. Dua tahun berada di situ, saya menyertai kelab drama sekolah di bawah bimbingan Cikgu Zack Zaiden. Kami bertanding peringkat negeri dan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan. Cikgu Zack Zaiden kemudian bertukar sekolah. Di situlah saya terhutang budi dan mula mendapat ilmu drama sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan seterusnya menubuhkan syarikat drama dan filem seperti hari ini. Pelbagai drama, telefilem dan filem telah kami terbitkan termasuklah Duan Nago Bogho, arahan Sabri Yunus.”
“Saya amat mengalu-alukan peserta bengkel untuk menghadiri uji bakat kelolaan produksi kami. Ilmu teater penting dalam melahirkan pelakon yang berbakat. Banyak pelakon berkualiti lahir daripada pelakon teater seperti Que Haidar, Namron, Fauziah Nawi dan ramai lagi. Ilmu teater dapat dimanfaatkan untuk menggilap bakat lakonan dan melahirkan kru produksi yang berbakat dan berpotensi. Tahniah kepada penganjur dan peserta yang berjaya mengikuti Bengkel Produksi Teater 2023,” tambah beliau.
Penceramah yang diundang dalam bengkel tersebut ialah Dr. Mohd Azly Zakaria, Pensyarah Jabatan Teater UPSI, Nawfal Mohd Zamri (Pengarah Teater) dan Cik Nik Norimani Mat Hassan (MOTAC). Fasilitator yang terlibat membimbing para peserta dari awal hingga akhir ialah Norhafis Mustaffar, Muhammad Alif Norhan, Masnee ‘Azira Mat Yazid, Nik Mohd Azhan Nik Ismail @ Jihan Megha Ismail dan Mohd Zaidi Yunus. Mereka merupakan antara pelakon dan penggiat teater yang tidak asing lagi di Kelantan.
Sebagai galakan kepada lebih 40 orang peserta, persembahan teater oleh semua peserta dinilai oleh penceramah. Beberapa kategori anugerah diberikan dalam majlis penutupan yang disampaikan oleh Dato’ Arisz Ab Rahman. Anugerah dan penerimanya ialah Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik: Cikgu Khairuddin (Teater Muzikal), Anugerah Pelakon Wanita Terbaik – Bawang Merah (Teater Purbawara), Anugerah Sinografer Terbaik (Teater Eksperimental), Anugerah Pengarah Terbaik (Teater Muzikal), Anugerah Persembahan Terbaik (Teater Muzikal), Fasilitator Terbaik (Cikgu Maznee), Anugerah Peserta Keseluruhan Terbaik Lelaki (Sarjan Shahrul) dan Anugerah Peserta Keseluruhan Terbaik Wanita (Cikgu Cek Zawi).
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Zuki Abu Lipah, Timbalan Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, mewakili Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.