4 Disember 2023, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Siri animasi Keluang Man memikat ramai penonton televisyen tanah air pada akhir era 1990-an, berjaya mencipta fenomena tersendiri dan menjadi kebanggaan Malaysia.

Menariknya, berdasarkan pencarian kata kunci di Google Trends, Keluang Man yang membawakan kisah seorang pesakit psikiatri, Borhan yang menjadi adiwira bertopeng dalam membanteras jenayah, masih dicari sejak hampir dua dekad lalu dan menjadi perbualan ramai.

Nas-T yang nama sebenarnya, Nas Muammar Zar terpilih memegang watak Keluang Man.

Di platform TikTok, #KeluangMan telah mencatat 20 juta tontonan, sementara video berkaitan Keluang Man di YouTube mendapat 8 juta tontonan. Begitu juga dengan koleksi lukisan peminat (Fan Art) yang banyak dihasilkan. Lebih membanggakan, Google turut mengenang pencipta Keluang Man, Allahyarham Kamn Ismail menerusi Google Doodle khas.

Setelah popular di televisyen, bukan satu kesalahan dan keanehan untuk membawa Keluang Man ke pentas menerusi teater atau drama radio, ataupun lebih besar lagi ke pawagam pula, iaitu filem. Sementelah Allahyarham Kamn pernah berpesan bahawa karyanya ini boleh dikembangkan ke pelbagai medium, bukan sekadar filem.

Sebagai projek filem terbaharunya, Astro Shaw, syarikat pengeluar filem yang sering memperoleh kutipan “pecah panggung” (lapan angka), tertarik memilih Keluang Man. Menariknya, diterbitkan dalam versi aksi manusia.

Dalam majlis sidang media memperkenalkan pelakon filem Keluang Man di Publika, Solari Dutamas pada 28 November lalu, Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, YM Raja Jastina Raja Arshad memberitahu, selepas pihaknya mengumumkan penerbitan filem ini, pelbagai reaksi positif diterima daripada peminat dan mendapat liputan luas.

“Ini membuktikan Keluang Man masih relevan dan ada impak yang sangat besar kepada penonton Malaysia. Dalam masa yang sama, kami mahu memperkenalkan semula animasi kebanggaan negara kita menerusi filem aksi manusia kepada generasi baharu dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi, dengan skala yang lebih besar,” tambah beliau.

Keluang Man ini bakal diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council, dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut menulis skripnya.

Kata Raja Jastina lagi, antara yang menjadi tumpuan tentulah pemegang watak Keluang Man. Perkara tersebut mencetuskan pertanyaan atau teka-teki siapakah pelakon yang akan membawakan watak adwira ikonik Malaysia ini. Persoalan itu akhirnya terjawab apabila bintang aksi, Nas Muammar Zar atau lebih dikenali sebagai Nas-T, dipilih memegang watak Keluang Man/Borhan.

Dalam Keluang Man, Nas-T bakal digandingkan dengan pelakon utama lain seperti Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, dan Datuk Rosyam Nor. Remy membawakan watak antagonis bernama Shamsir, Anwaar sebagai Inspektor Sahab, dan Datuk Rosyam pula memegang watak Ahmad.

“Selepas menjalankan sesi uji bakat, Astro Shaw mencapai kata sepakat untuk memilih Nas-T kerana ciri-ciri, dan dedikasi beliau yang menepati kriteria watak Keluang Man. Astro Shaw yakin Nas-T mampu membawakan kelainan dalam menghidupkan watak animasi kegemaran ramai ini,” jelas Raja Jastina lagi sambil mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir bagi sesi uji bakat, dan diakui semuanya hebat.

Keluang Man dijangka menemui penonton pada tahun 2025. Kini Astro Shaw sedang merangka strategi dalam menghasilkan jagat terbesar Keluang Man, dan membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam francaisnya nanti.

Remy Ishak sebagai Shamsir, watak antagonis dalam filem Keluang Man, terbitan Astro Shaw.

Sementara itu, Anwari menjelaskan setelah menimbang-nimbang lebih beratus calon termasuk pelakon berpengalaman dan bakat baharu, jelas pada Astro Shaw bahawa Nas-T adalah Keluang Man yang dicari-cari. Aura lahiriah Nas-T sebagai seorang individu, tambah beliau, persis dan jitu dengan jiwa Borhan, sehingga penerbit tidak teragak-agak memilihnya.

“Buat masa ini, kami masih dalam proses praproduksi. Proses penjadualan, pencarian lokasi, memapan cerita, serta proses yang paling mendebarkan bagi kami, iaitu mereka bentuk kostum Keluang Man sedang berjalan. Kami sedar akan tanggungjawab besar yang digalas dalam memenuhi harapan tinggi peminat. Jadi, kami sentiasa berwaspada dalam melaksanakan visi kreatif kami,” tegas Anwari.

Mengenai sesi uji bakat Keluang Man, beliau menjelaskan bahawa sesi tersebut melalui tiga fasa. Fasa pertama dibuka pada 28 Julai sehingga 28 Ogos lalu, dengan calon perlu menghantar video tentang diri, dan personaliti mereka.

“Dalam fasa kedua, calon yang terpilih dipanggil untuk uji bakat secara fizikal. Untuk fasa ketiga pula, daripada 10 bakat yang telah disenarai pendek, hanya seorang dipilih oleh produksi untuk membawa watak Keluang Man,” kata Anwari.

Ketika ditanya pemilihannya sebagai Keluang Man, Nas-T menyatakan rasa teruja, dan akan bersungguh-sungguh membawakan watak berkenaan agar tidak mengecewakan harapan tinggi para peminat.

Sepanjang ingatan penulis, ini kali pertama Remy memegang watak antagonis dalam filem. Sambil menyatakan kegembiraannya, beliau memberitahu akan bersedia dengan fizikal yang menarik, memandangkan Nas-T kelihatan sasa.

Sementara itu, Rosyam yang sudah veteran, bersyukur kerana akhirnya mencapai hasrat mahu bekerja dengan pengarah muda/baharu. Kata beliau sambil bergurau, itu untuk membuatkan dirinya kelihatan dan berjiwa muda.

“Saya mengakui sudah veteran. Tetapi, ingin mengingatkan para pelakon lebih muda supaya berhati-hati dengan aksi saya nanti,” tambah beliau sambil tersenyum, dan berharap Keluang Man akan “pecah panggung”.

Anwaar yang menarik perhatian dalam filem Sikh berbahasa Punjabi pertama Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu Mundey Kampung Dey (2022) mengucapkan terima kasih kepada Astro Shaw kerana menawarkan kepadanya memegang watak penting, Inspektor Sahab.

Dari kiri; Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Nas -T dan Remy Ishak.

Penggambaran Keluang Man dijangka bermula pada April 2024. Sementara menantikan ia muncul di pawagam, peminat setia serta penonton generasi baharu boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com bermula dari musim pertama hingga musim ketiga.

Selain Nas-T, Rosyam, Remy, Anwaar, Anwari, dan Raja Jastina, turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Azmir Saifuddin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.