Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pementasan teater muzikal Apa Nak Jadi?, karya dan arahan Azrin.C, Kumpulan Malice Ventures dan Kultus Kaktus dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis berjaya menghiburkan penonton yang menyaksikannya. Pementasan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis itu berjalan lancar atas sokongan banyak pihak.
Karya Apa Nak Jadi? The Musical mengisahkan percintaan Syahmi dan Nisa yang saling mengenali sejak zaman sekolah. Namun, Cikgu Haikal yang mempunyai perasaan yang sama terhadap Nisa mula bertindak untuk meminang Nisa dengan membawa wakil, iaitu Pak Long yang merupakan ketua kampung.
Pergolakan mula berlaku apabila Syahmi nekad untuk membawa Nisa melarikan diri kerana tidak mahu Nisa berkahwin dengan Cikgu Haikal yang lebih bekerjaya. Belum surut misteri kehilangan Nisa, keluarga Rahim mula diuji apabila dituduh menjadi punca Nisa melarikan diri selepas pinangan Cikgu Haikal ditolak.
Kehadiran penonton terutamanya dalam kalangan mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberikan sinar untuk teater di Perlis kembali meriah. Sementara itu, pengarah teater Malice Ventures, Azrin bijak memilih naskhah dipentaskan dengan membawakan elemen muzikal dan tarian dalam persembahan membuatkan penonton terpukau dengan pementasan tersebut. Walaupun pementasan yang dibawa kelihatan santai, namun patut diberikan pujian.
Naskhah ini turut menyelitkan satira tentang ekonomi penduduk kampung yang mementingkan kerjaya demi masa depan yang lebih baik.