20 Disember 2023, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kadang-kadang tidak disangka sesuatu perkara itu boleh mencetuskan ilham untuk mencipta sesuatu. Ilham atau idea memang datang tanpa diduga, apatah lagi dirancang.

Demikianlah yang berlaku pada pemilik sebuah syarikat produksi tempatan, iaitu Ong Peng Chu. Gemar memakan durian Musang King telah mencetuskan idea kepada beliau menerbitkan sebuah filem. Lebih menarik, filem itu dihasilkan dengan karyawan dari Korea Selatan.

Penerbit Eksekutif, Hundred Years Popcorn Production Sdn. Bhd., Ong Peng Chu.

Menurut Peng Chu, Penerbit Eksekutif, Hundred Years Popcorn Production Sdn. Bhd., beliau memang gemar akan Musang King dan pernah menikmatinya bersama-sama pengarah dari negara yang sinonim dengan K-Pop dan ginseng itu, Lee Moon Ho.

“Melihat Moon Ho begitu berselera menikmati raja buah Malaysia itu, saya mendapat ilham untuk menghasilkan filem usaha sama antara Malaysia dengan Korea Selatan, sekali gus menjadikan Musang King sebagai subjek utama,” jelas Peng Chu.

Menurut beliau, penerbitan filem tersebut yang diberi judul The Lord Musang King, tidak hanya menyatukan Malaysia dan Korea Selatan, malah turut mengetengahkan Musang King sebagai duta menjayakan misinya.

Tambahan pula, kata Peng Chu lagi, belum ada filem dari Malaysia yang menggabungkan Malaysia dengan Korea Selatan, berbanding negara serantau lain.

“Jadi, saya meminta Moon Ho mengarahkan The Lord Musang King lantaran kami telah lama berkenalan, dan beliau juga banyak menghasilkan filem di China,” jelas beliau semasa Majlis Malam Gala The Lord Musang King di GSC Lalaport, Pusat Bandaraya Bukit Bintang, pada 19 Disember lalu.

Pelakon The Lord Musang King bersama-sama pengarah dan penerbit filem tersebut pada Majlis Malam Gala The Lord Musang King di GSC Lalaport, Pusat Bandaraya Bukit Bintang.

Peng Chu mengakui, pada mulanya agak sukar meyakinkan Moon Ho. Namun demikian, sutradara itu akhirnya bersetuju selepas melihat kejayaan beberapa buah filem terbitan Malaysia seperti Paskal (2018) yang mengutip RM30.08 juta.

Selain Musang King, filem ini dihasilkan ekoran “kegilaan” rakyat Malaysia terhadap industri K-Pop, dan mahu mempertingkatkan sektor pelancongan negara.

Dengan modal RM2.5 juta, The Lord Musang King yang bercorak aksi lasak pastinya menampilkan pelakon dari Malaysia dan Korea Selatan, sementara lokasi penggambaran sepenuhnya di Malaysia selama 21 hari.

Peng Chu turut menyatakan rasa terharunya kerana kebanyakan kru dan penggiat seni yang terbabit dalam pembikinan filem, termasuk Moon Ho tidak meletakkan bayaran tinggi kerana persahabatan yang terjalin.

“Bayaran untuk pelakon dari Korea Selatan juga amat rendah. Walaupun kos pembikinan tidak semahal filem usaha sama lain, tetapi kami mengutamakan soal kualiti. Kami menggunakan peralatan diimport dari China, dan teknik imej janaan berkomputer atau CGI untuk filem ini,” jelasnya.

“Walau bagaimanapun, saya memohon dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS untuk promosi dan pemasaran,” tambah Peng Chu yang juga merupakan penerbit muzik veteran.

Pengarah filem The Lord Musang King dari Korea Selatan, Lee Moon Ho.

Pelancaran The Lord Musang King disempurnakan pada tahun 2022 oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Park 28, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Korea ini menampilkan pelakon Malaysia seperti Yusuf Bahrin, Harissa Adlynn Halim, Fimie Don, Azri Sabri, Hafizuddin Fadzil, Jay Iswazir, Nik Ramli Rejab, dan Shyrim Husni. Pelakon dari Korea Selatan pula ialah Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk.

Menariknya, Peng Chu memberitahu beliau turut memberikan tawaran kepada Dato’ M. Nasir dan Dato’ Awie, tetapi mereka terikat dengan komitmen lain. Katanya, Awie kelihatan berminat, tetapi perlu ke Mekah menunaikan umrah.

Meskipun menampilkan muka baharu, tambah Peng Chu, tetapi mereka terlebih dahulu menjalani latihan yang agak ketat. Yusuf misalnya, perlu menjalani latihan dan belajar seni mempertahankan diri secara intensif sebelum penggambaran.

Mengenai sambutan penonton dalam dan luar negara, Peng Chu bersikap positif meskipun mengakui pada peringkat awal sangsi dengan keserasian di lokasi penggambaran.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman membawa penyanyi dari Korea Selatan, Kim Dong Gyun ke Malaysia berduet dengan Wany Hasrita yang diterima ramai, Peng Chu yakin mampu melakukan perkara sama untuk filem ini.

The Lord Musang King bersedia untuk “dinikmati” di 71 buah pawagam seluruh negara bermula 21 Disember 2023.

“Turut menambahkan keyakinan saya ialah banyak platform Over-The-Top (OTT) dari luar negara, termasuk pengedar antarabangsa begitu berminat dengan filem ini selepas berbincang,” katanya lagi.

The Lord Musang King mengisahkan Haikal, lakonan Yusuf Bahrin, anak pekebun durian yang berjaya, yang mahir seni mempertahankan diri, telah diperdaya dan dipenjarakan.

Bapa Haikal, Samad (Hafidzuddin Fazil) terpaksa membuat perjanjian dengan ahli perniagaan Korea Selatan, Cheon Jin, untuk membebaskan Haikal. Watak Jin, antagonis yang menyeludup dadah di dalam durian, dilakonkan oleh Chow yang merupakan penerbit filem ini.

Walau bagaimanapun, Samad dibunuh oleh Jianna (Bo-Yeon), “kaki pukul” taikun Korea Selatan itu ketika menyiasat kegiatan Faruk (dalam usaha membebaskan Haikal). Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela kematian bapanya itu.

Watak Fiezol lakonan Fimie, dan Natasha oleh Harissa Adlynn merupakan rakan karib Haikal. Sementara Inspektor Shahar, lakonan Jay; Faruk (Azri), dan Dwan (Shyrim) merupakan antagonis. Watak banduan yang suka membantu Haikal di penjara, dipegang oleh Dong-Hyuk.

Selain Peng Chu, dan Moon Ho, turut menghadiri Majlis Malam Gala The Lord Musang King ialah Fimie, Harissa Adlynn, Chow, Hafidzuddin, Azri, Bo-Yeon, Dong-Hyuk, Nik Ramli; serta Han Byul, penyanyi lagu runut bunyi The Lord Musang King, berjudul Sang Pengembara.

The Lord Musang King yang skripnya tulisan Shi Zhong Yuan akan ditayangkan di 71 buah pawagam seluruh negara bermula 21 Disember 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.