21 Disember 2023, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran IKAT 2.0 merupakan satu daripada usaha melestarikan warisan artis tempatan dengan membawa rakyat Malaysia mendalami naratif seni tekstil yang menawan, kisah etnik dan seni kemahiran tangan yang luar biasa.

IKAT 2.0 berlangsung dari 6 Januari hingga 7 Januari 2024.

IKAT 2.0 menjadi hab pengalaman tekstil timbul yang menampilkan pemasangan yang mendalam, galeri tekstil warisan, bengkel amali oleh tukang mahir, ceramah dan pertunjukan fesyen. IKAT 2.0 edisi Kuala Lumpur dijangka akan berlangsung dari 6 Januari 2024 hingga 7 Januari 2024 di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur.

IKAT, atau nama penuhnya Immersive Knowledge and Textile, berusaha untuk memulihara warisan tekstil Malaysia dan menyemarakkan semula penglibatan orang ramai dalam bidang kraf ini dengan kerjasama teknologi dan strategik dengan artis, artis media baharu, institusi pendidikan dan pakar subjek.

Melalui usaha ini, IKAT menyemai semangat cintakan tradisi, serta menyusun pengalaman mendalam untuk memperkayakan penghargaan terhadap warisan tekstil, motif, teknik serta proses penciptaan yang teliti. Hal ini secara tidak langsung memupuk permintaan yang teguh dalam kalangan masyarakat terhadap khazanah budaya ini.

IKAT 2.0 mengetengahkan warisan tenunan dan tekstil pelbagai etnik.

IKAT 2.0 menjanjikan tema tersendiri yang disesuaikan dengan khalayak setiap negeri yang terlibat, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak. IKAT 2.0 di Kuala Lumpur menyerlahkan tarikan tekstil artisan Borneo, memfokuskan kepada tradisi tekstil tenunan tangan Iban Pua Kumbu yang berusia puluhan tahun, sulaman suku Rungus, serta warisan integral dan ekspresi budaya masyarakat asli Borneo, iaitu seni manik.

IKAT 2.0 di Kuala Lumpur diketuai oleh Jacqueline Fong, pengasas bersama Tanoti Crafts, iaitu sebuah perusahaan sosial terkenal yang komited terhadap pemuliharaan kraf warisan, pemerkasaan wanita dan pembangunan masyarakat luar bandar.

Dalam bidang penerokaan budaya Asia, IKAT 2.0 merupakan satu-satunya acara yang menyepadukan tekstil warisan secara harmoni dengan pengalaman interaktif yang luar biasa. IKAT 2.0 diterajui oleh Experiential Design Team, sebuah studio kreatif yang memfokuskan bidang realiti maya, realiti tambahan dan realiti campuran, dan dikuasakan oleh Yayasan Hasanah, Khazanah Nasional Berhad.

Untuk maklumat lanjut tentang pameran IKAT 2.0 di Kuala Lumpur, sila layari laman web https://ikatmalaysia.com atau platform sosial Instagram @IKATMalaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.