Oleh Abd Razak Osman
21 Disember 2023, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Malaysia mencatatkan kehadiran sebanyak 14,467,037 pelancong asing dengan sumbangan pendapatan pelancongan mencecah RM49 bilion hingga bulan September yang lalu.

Sehubungan dengan itu, Tourism Malaysia terus menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjayakan tujuan tersebut, termasuklah memperkenalkan 52 pakej pelancongan baharu menerusi pakej arkeopelancongan dan geopelancongan tentang keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO di Pulau Pinang dan Kedah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Mohd. Roslan Abdullah berkata, usaha dijalankan bersama 14 operator pelancongan di Wilayah Utara dan Wilayah Tengah akan menawarkan pelbagai pakej percutian bermula seawal bulan Mac depan.

“Penawaran pakej tersebut diharapkan mampu mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang dan Kedah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.”

Menurutnya, antara aktiviti di tempat menarik yang ditawarkan ialah lawatan ke tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu, Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Jerai Geopark serta Sungai Merbok.

Pakej lain yang boleh dilawati, termasuklah Jerai Geopark Heritage Trail, The Lost Ancient City – Kedah Tua; Archaeology Eco Cycling Experience; Penang Heritage Tour; Mount Jerai Guided Tour dan Iron of Ancient Kedah to the World- The Untold Story 788 BC yang dapat memberikan pendedahan tentang tapak-tapak arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Pelancong yang membeli pakej ditawarkan bukan sahaja boleh melawat geotapak atau tapak arkeologi, malah berpeluang merasai pengalaman kerja-kerja ekskavasi, meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menghargai tinggalan warisan serta kebudayaan Malaysia.”

Mohd Roslan menambah, sejajar dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, usaha tersebut dapat memangkin usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya tempatan selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan pelibatan masyarakat tempatan.

Urus setia majlis pelancaran itu, Kamilia Hani Abdul Halim pula berkata, untuk merancakkan lagi promosi, pihaknya akan bekerjasama dengan wakil Tourism Malaysia di luar negara untuk menguar-uarkan tawaran pakej tersebut seterusnya menarik kehadiran lebih banyak pelancong luar ke negara ini.

Menurutnya, kesemua pakej pelancongan telah dimuatkan dalam sebuah risalah pakej arkeopelancongan dan geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah yang kini boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia.

Yang turut hadir bagi memeriahkan majlis itu, Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) Kedah, Dr. Mohd Amin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan dan Ketua Pelaburan Pelancongan NCER Malaysia, Muhammad Zaki Mohd Saman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.