29 Disember 2023, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pencalonan Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) kini dibuka, bermula hari ini hingga 29 Februari 2024. Penganjuran ASN 2024 yang memasuki edisi kesembilan ini merupakan pengiktirafan tertinggi oleh pihak kerajaan kepada para seniman dan penggiat seni yang memberikan sumbangan terhadap kesenian dan kebudayaan negara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam hebahannya menyatakan bahawa bidang pencalonan ASN 2024 pada kali ini melibatkan lima kategori bidang seni, iaitu Seni Muzik, Seni Tari, Seni Lakon (Pementasan), Seni Kraf dan Seni Visual.

Tambah MOTAC, pencalonan dan pemilihan bagi setiap kategori yang dipertandingkan adalah berbagai-bagai, antaranya termasuklah memiliki kepakaran dalam setiap bidang sekurang-kurangnya 25 tahun dari segi pengalaman dan masih aktif pada tarikh pencalonan, melahirkan karya hebat yang memberikan impak kepada industri seni, mempunyai sifat kepimpinan dalam bidang seni pada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa, dan mempunyai nilai tambah yang dapat diperakukan oleh jawatankuasa pencalonan.

Penganugerahan ASN 2024 pula dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu Anugerah Seniman Negara sebagai anugerah utama, seterusnya Anugerah Karyawan Seni yang terbahagi kepada lima penerima; Karyawan Seni Muzik, Karyawan Seni Tari, Karyawan Seni Lakon, Karyawan Seni  Kraf dan Karyawan Seni Visual, dan Anugerah Pendokong Seni yang terbahagi kepada tiga penerima; Pendokong Seni – Media, Korporat dan NGO.

Menurut MOTAC, semua pencalonan perlulah melalui Borang Pencalonan ASN 2024 dan dokumen sokongan perlulah dikemukakan melalui e-mel kepada Ketua Pengarah Jabatan atau Agensi yang mempengerusikan Jawatankuasa Pencarian atau Pencalonan ASN 2024 mengikut kategori masing-masing.

Bagi mendapatkan borang pencalonan dan keterangan lanjut tentang ASN 2024, sila layari laman web MOTAC, www.motac.gov.my

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.