4 Januari 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Mewujudkan hubungan yang lebih akrab dan harmoni merupakan objektif penganjuran Mahallah Week 3.0. Program yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Mahallah Representative Committee (MRC) 23/24 selaku wakil pelajar yang menetap di kolej kediaman Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (UIAM) Pagoh. Selain itu, penganjuran program ini bertepatan dengan visi dan misi universiti iaitu mengembangkan persekitaran dengan penuh komitmen untuk pembelajaran sepanjang hayat dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam dalam kalangan staf dan pelajar.

Program dimulakan dengan kuliah duha dan bacaan surah al-Kahfi bertepatan dengan amalan sunat pada hari Jumaat. Majlis pembukaan Mahallah Week 3.0 menyaksikan persembahan yang memukau daripada kumpulan nasyid Alunan Sukma dan tarian Zapin daripada Rentak Pujangga. Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan sepanjang berlangsungnya program ini antaranya pameran reruai dan juga jualan makanan serta minuman.

Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah Kelab Anjung Melayu, Kelab Kizuna, Kelab French, Kelab Jixiang, Harmoni, PERKIM, KLMSS, Student Union, InPac dan FAM Entertainment. Pelbagai aktiviti yang diadakan di setiap reruai berjaya menarik perhatian pengunjung untuk turut serta sama ada dalam kalangan warga Mahallah Zaid Harithah atau universiti sekitar Pagoh dan Muar.

Persembahan tarian zapin oleh Rentak Pujangga.

Pengarah program, iaitu Ainul Harith Zakaria berkata, “Program sebegini dilihat memberi impak yang positif daripada sudut hubungan kerjasama dengan pelbagai kelab yang berdaftar di UIAM Pagoh ini. Hal ini diperkuatkan lagi apabila UIAM Pagoh merupakan kampus yang agak kecil dengan kapasiti pelajar yang rendah. Justeru, kerjasama yang berterusan wajar dilaksanakan oleh setiap warga kolej kediaman”.

Program siri ketiga tersebut menampilkan pelbagai perubahan dan penambahbaikan hasil daripada tinjauan para pengunjung sebelum ini. Hal ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan 11, iaitu Bandar dan Masyarakat Mampan yang mampu melestarikan hubungan komuniti yang terlibat. Program Mahallah Week ini diharapkan dapat diteruskan lagi dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.