Oleh Abd Razak Osman
9 Februari 2024, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Majlis sumbangan bantuan perayaan Tahun Baru Cina 2024 dan penyampaian sumbangan geran bantuan usahawan kecil wanita “Sadaqa House” anjuran Bank Islam Malaysia Berhad dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berlangsung di Hotel Star City Alor Setar, Kedah semalam.

150 orang dalam golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan  daripada YSB bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Pada tahun ini, mereka yang terpilih menerima sumbangan berjumlah RM30,000 tersebut adalah dari daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Toh Puan Bendahara Kedah, YABhg. Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Nora binti Abdullah dan Pengerusi YSB, Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Setiap tahun, YSB menyampaikan sumbangan perayaan bagi meraikan kepelbagaian bermula dari Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Deepavali yang menunjukkan semangat perpaduan dan sikap toleransi masyarakat majmuk khususnya di Kedah.

Ahli Lembaga Amanah YSB selaku Pengerusi Kebajikan YSB iaitu Yang Teramat Mulia Datin Paduka Dato’ Tunku Hajah Nafisah binti Almarhum Sultan Badlishah dalam ucapannya berkata, setiap tahun, YSB memilih daerah secara pusingan agar sumbangan dapat diberikan secara adil.

Katanya, “Saya berharap agar sumbangan yang diberikan oleh YSB, sedikit sebanyak dapat membantu dalam persediaan dan memberikan sedikit keceriaan bagi meraikan sambutan perayaan tersebut”.

Tarian singa turut dipersembahkan pada majlis yang diadakan di Hotel Star City Alor Setar, Kedah.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian sumbangan geran bantuan usahawan kecil wanita “Sadaqa House” Bank Islam Malaysia Berhad dan YSB. Geran bantuan diberikan dalam bentuk barangan perniagaan kepada usahawan yang berjaya seperti mesin jahit, peralatan spa dan kios perniagaan berjumlah RM34,660.

Yang turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, YB Wong Chia Zhen dan Pegawai Daerah Kota Setar, YBhg. Tuan Hakim Ariff Md Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.