5 Mac 2024, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kabong – Sebanyak 39 buah negara termasuk Malaysia, menyertai Pesta Layang-layang Antarabangsa Kabong (KIKF 2024) yang bermula dari 5 Mac hingga 11 Mac 2024 di Kabong, Sarawak.

Pesta yang diadakan kali pertama pada tahun 2018 ini dianjurkan bertujuan untuk memantapkan lagi sektor pelancongan negeri ini, khususnya daerah kecil Kabong melalui penganjuran acara berskala besar. Selain KIKF, Kabong turut menjadi tuan rumah untuk acara tahunan pesta pantai.

Majlis penangguhan KIKF 2024 dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg pada 10 Mac di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang.

KIKF 2024 menyaksikan penyertaan sebanyak 105 orang peserta yang telah membanjiri daerah kecil Kabong yang terletak 345 kilometer dari bandar Kuching sejak penghujung bulan Februari.

Antara pengisian festival yang berlangsung selama tujuh hari ini ialah pameran layang-layang unik, pertandingan layang-layang kreatif, pentas kebudayaan, persembahan dan pertandingan memancing.

Untuk rekod, acara tersebut pada tahun lalu telah menarik penyertaan daripada 36 buah negara dan dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.