Oleh Nasir Hamid
12 Mac 2024, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Pementasan teater Gejolak oleh Kelab Teater Batu Lintang (BALTEC) baru-baru ini membuktikan bahawa masyarakat dapat berkarya melalui seni teater.

YB Datuk Abdullah Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) turut hadir dalam pementasan teater tersebut di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

Teater Gejolak merupakan karya Dr. Hasnalee Tubah yang mengapresiasi puisi-puisi Sasterawan Negara, Usman Awang.

Beliau dalam ucapannya mengharapkan penonton yang hadir dapat mempelajari makna kehidupan melalui teater yang dipentaskan kerana teater bukan sebuah lakonan semata-mata.

Katanya lagi, “Banyak kaedah atau amalan dalam seni lakonan teater berkait rapat dengan suasana atau pengalaman yang kita lalui dalam kehidupan sebenar.”

Dr. Abang Ismail menyampaikan cenderamata kepada Datuk Abdullah Haji Saidol.

Teater Gejolak, hasil karya Dr. Hasnalee Tubah ini mengapresiasi puisi-puisi Sasterawan Negara, Usman Awang yang berkisar tentang pembinaan sebuah jambatan di sebuah kampung di Sarawak bukan sahaja menghiburkan penonton yang hadir malah berjaya mengupas isu semasa dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Batu Lintang, Dr. Abang Ismail Abang Julhi berharap pementasan ini dapat mencungkil bakat warga IPGK Batu Lintang dalam seni teater. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana turut membantu dalam menjayakan pementasan teater ini.

Rakaman kenangan pelakon dan kru produksi bersama-sama tetamu kehormat.

Hadir sama menyaksikan pementasan teater tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Haji Abang Julai,  dan Pengarah IPGK Rajang, Yahya Sidek.

YB Datuk Abdullah Haji Saidol turut menyumbangkan dana kepada Kelab Teater Batu Lintang bagi membantu penggiat teater di IPGK Batu Lintang untuk membiayai aktiviti berkaitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.