31 Mac 2024, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sekali lagi menganjurkan program Iftar@KL pada tahun ini.

Menurut JKKN, Iftar@KL 2024 akan diadakan selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac dan 6, 7 April 2024 bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur

JKKN berkata objektif utama program ini ialah mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui pengisian aktiviti, merapatkan dan mengeratkan silaturrahim serta toleransi antara kaum menerusi program dan aktiviti bagi menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi Program Pelancongan Budaya.

Tambahnya, program ini juga dapat menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti bergotong royong dan sukarelawan budaya yang terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

“Iftar@KL pada tahun ini merupakan penganjuran kali ke-12 oleh JKKN sejak pelaksanaannya bermula tahun 2012 dan uniknya program kali ini ialah pengunjung berpeluang berbuka puasa berkonsepkan makan berjemaah di dalam dulang atau talam,” kata JKKN dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program ini bertujuan mengembalikan nostalgia budaya makan menggunakan dulang yang kian dilupakan, selain bertujuan untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW.

Menurut JKKN, terdapat juga Program Jom Exchange Al-Quran yang merupakan program kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu pemulangan Al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dari pihak KDN dan digantikan dengan AlQuran yang telah diluluskan oleh KDN.

Selain itu, katanya, JKKN dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) mengadakan malam ‘Suara Dari Gaza’ iaitu persembahan deklamasi puisi dan persembahan nasyid sebagai manifestasi solidariti masyarakat Malaysia kepada umat Islam di Palestin.

“Iftar@KL 2024 dimeriahkan lagi dengan pelbagai pengisian menarik seperti Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Solat Berjemaah, Tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadan, Bicara Ramadan, Sukarelawan Skuad Budaya, Kaunter Zakat Fitrah dan Jualan Makanan Food Truck,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan dalam kenyataan yang sama berkata Iftar@KL yang dilaksanakan oleh JKKN ini merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat bandar dan khususnya generasi muda seperti contoh melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan.

Tambah beliau, penganjuran program sebegini juga merupakan tanggungjawab sosial kementerian ini ke arah mencerminkan kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Iftar@KL juga merupakan anjuran bersama dengan rakan-rakan strategik JKKN iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Seni Budaya Putra.

Selain itu, antara rakan penganjur Iftar@KL pada tahun ini adalah Islamic Tourism Centre (ITC), DBP, Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Wilayah Persekutuan, Kementerian dalam Negeri, Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Pada tahun ini, Iftar@KL juga telah mendapat sokongan daripada syarikat korporat iaitu Radio Suria FM dan penajaan daripada syarikat terkenal iaitu Syarikat Minuman F&N dan Vida, ADABI, Pertubuhan KitaFund, dan SWCorp.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.