30 April 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Pada 25 April 2024, penulis berpeluang menonton pementasan teater Jangan Bunuh Sam karya Zakaria Ariffin, arahan dan olahan Amira Husna. Pementasan teater daripada produksi Ritma Kartika merupakan Projek Akhir Teater (PROAKTER) 2024 oleh pelajar teater Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pementasan teater berlangsung selama empat hari bermula 24 April hingga 27 April 2024 di Tinta Pesona, Blackbox UPSI. Kehadiran penulis skrip Jangan Bunuh Sam, Encik Zakaria Ariffin memberikan semangat kepada pelajar yang dinilai.

Antara pelakon dalam teater Jangan Bunuh Sam, ialah Shakir Zufayri sebagai Rahim/Sam, Ain Syazwani sebagai penerbit, Murni Maisarah sebagai Liza, Intan Nor Aisyah sebagai Jackie/Daisy dan Jeadrynickarland Junior Jomilas yang memegang watak Sabri/Jusuh P.I.

Teater Jangan Bunuh Sam merupakan genre komedi dilema watak Rahim apabila mengetahui stesen televisyen tidak mahu watak Sam diteruskan lagi kerana tidak mahu mengangkat pesona lelaki lembut kepada masyarakat. Penerbit rancangan sitkom Sam hanya diberikan dua pilihan oleh stesen televisyen supaya tamatkan watak Sam atau rancangan sitkom dihentikan serta merta.

Antara babak dalam pementasan teater Jangan Bunuh Sam.

Penerbit cuba memujuk Rahim supaya menerima keputusan stesen televisyen kerana tidak mahu periuk nasinya diganggu. Rahim berperang dengan dirinya sendiri dan tidak mampu menerima kenyataan kerana watak Sam sudah sebati selama 10 tahun dalam rancangan sitkom tersebut. Rahim berpakat bersama-sama pelakon lain untuk mengubah strategi penerbit ketika rakaman berlangsung. Adakah strategi mereka berjaya atau Sam perlu mati?

Penulis teruja melihat set pentas yang berjaya divisualkan kepada penonton. Walaupun kelihatan minimalis tetapi sudah cukup memberikan keyakinan kepada penonton melihat ruang kedai butik Sam dan bilik persalinan kostum pelakon. Penulis amat berpuas hati dengan mutu lakonan pelajar-pelajar yang dinilai yang bermain di atas pentas dengan baik. Paling menyerlah ialah watak penerbit yang menghidupkan watak dengan ekspresi wajah yang sangat baik, selesa dan tidak kelihatan kekok.

Watak Rahim juga perlu diberikan pujian kerana berjaya memainkan emosi penonton ketika terhimpit dengan pilihan yang sukar untuk mematikan watak Sam. Bukan mudah untuk menghidupkan dua watak dalam suatu masa. Penulis yakin bahawa semua pelakon sudah memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu.

Bagi pengarah teater Jangan Bunuh Sam, Amira Husna, beliau bersyukur kerana pementasan ini berlangsung dengan jayanya. Amira berterima kasih kepada ibu bapa, pensyarah, ahli produksi dan semua yang mengenalinya kerana sentiasa membantu dan menyokong sepanjang proses latihan berlangsung. Bagi Amira, proses itu sememangnya sakit dan rasa putus asa itu acap kali muncul. Namun dengan sokongan daripada semua pihak, Amira dapat mengharungi segala cabaran dengan senyuman.

Teater itu sebuah kehidupan yang tidak banyak orang mengerti. Walaupun pementasan teater tersebut merupakan persembahan terakhir daripada Ritma Kartika tetapi Amira pasti mereka tidak pernah puas untuk berkarya.

Kegiatan teater di UPSI mampu melahirkan lebih banyak pelajar yang berbakat dalam bidang seni persembahan teater dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama dengan IPTA yang lain. Tidak mustahil bakat muda yang ada kini, bakal menjadi penerus legasi teater di Malaysia pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.