Oleh Firdaus Mul
8 Mei 2024, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya pada tahun ini pesta Kaamatan yang  diraikan oleh masyarakat di negeri Sabah sepanjang bulan Mei ini, menjadikan “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” sebagai tema utama sambutan. Manakala daerah Ranau dipilih sebagai tuan rumah bagi pelancaran pesta Kaamatan 2024.

Rasional memilih daerah Ranau sebagai tuan rumah kerana daerah tersebut merupakan lokasi yang strategik dan berada di laluan utama. Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang merupakan Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2024 menerusi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia menerusi RTM baru-baru ini.

Menurut beliau, pemilihan tema “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” bertepatan dengan agenda utama negara dan global pada masa ini. Keterjaminan makanan merupakan satu agenda yang penting. Beliau turut menjelaskan bahawa pesta Kaamatan bukan hanya fokus terhadap makanan, malah merupakan platform untuk mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Dalam masa yang sama kita memperingatkan betapa pentingnya keterjaminan makanan dan pesta Kaamatan menjadi platform untuk rakyat kita berniaga”.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun adalah wahana yang tepat untuk mempromosikan budaya yang ada di Sabah sekali gus meningkatkan ekonomi serta pelancongan tempatan.

Ujar beliau, “Kita juga menggunakan platform ini untuk mempromosikan warisan budaya kita dan juga sektor pelancongan. Kalau pelancongan dipromosikan melalui kelebihan-kelebihan kita dari segi kebudayaan dan tradisi, maka secara tidak langsung usaha ini berpotensi menarik pelaburan di Sabah”.

Sementara itu, bagi pelancaran Pesta Kaamatan 2024 terdapat lima daerah di Sabah yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi majlis pelancaran. Namun begitu, daerah Ranau yang terpilih atas faktor kedudukan yang strategik, di laluan utama. Selain sebagai daerah yang menjadi pusat pelancongan, dan memiliki Gunung Kinabalu, Ranau juga adalah satu-satunya daerah yang terkenal dengan aktiviti pertanian di Sabah.

Bukan hanya aktiviti penanaman padi, malah terdapat juga penanaman sayur, teh dan sebagainya. Daerah Ranau juga dikatakan mempunyai kemudahan-kemudahan yang boleh diakses oleh pelawat seperti hotel dan inap desa.

Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun bukan hanya tertumpu di negeri Sabah, malah turut diraikan di seluruh Malaysia. Oleh hal yang demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bakal merasmikan penutupan Pesta Kaamatan 2024 pada 31 Mei ini.

Selain daripada acara-acara lazim seperti sukan tradisi, persembahan seni, unduk ngadau, sugandoi, pesta Kaamatan 2024 juga menganjurkan buvazoi tavantang, Kaamatan International Week, International Cultural Dialogue, Forum Biodiversiti dan lain-lain.

“Acara-acara tersebut diselitkan supaya perayaan pesta Kaamatan ini lebih bermakna,” tambah beliau lagi.

Pada akhir temu bual tersebut, beliau mengalu-alukan seluruh rakyat Sabah untuk sama-sama memeriahkan pesta Kaamatan sepanjang bulan Mei serta hadir pada hari kemuncaknya pada 31 Mei di Hongkod Koisaan (KDCA), Penampang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.