10 Mei 2024, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Sidang media pementasan teater perdana “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” telah diadakan pada 9 Mei 2024 di Atrium JOTIC, Johor Bahru.

Pementasan yang bakal berlangsung pada 24 Mei dan 25 Mei 2024 pada pukul 8.30 malam itu merupakan inspirasi daripada naskhah ulung Sasterawan Negeri Johor Shaharom Husin dan diolah semula oleh Azri Azmi atau nama penanya Senjakala sebagai penulis skrip dan pengarah.

Azri Azmi atau Senjakala sebagai penulis skrip dan pengarah teater Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata.

Azri Azmi merupakan penggiat teater terkenal negeri Johor yang telah banyak melahirkan skrip teater berunsur budaya dan sejarah setempat.

Teater yang bakal berlangsung di Auditorium JOTIC, Johor Bahru merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Turut sama menaja pementasan ini ialah pihak Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Teater Negeri Johor.

Menurut Azri Azmi, naskhah ini mengisahkan perjuangan seorang adiwira Johor, iaitu Nong Mutalib yang digelar sebagai Harimau Johor pada zaman pemerintahan Temenggong Ibrahim di Teluk Belanga sekitar tahun 1850-an. Temenggong Ibrahim telah menitahkan Nong Mutalib untuk menghapuskan lanun di perairan Johor.

Sidang media pementasan teater perdana “Harimau Johor: Jauhar Tanah Permata” di Atrium JOTIC, Johor Bahru.

Beliau bijak mengatur strategi peperangan sehingga namanya masyhur sebagai ketua maritim Sungai Johor hingga di Mersing dan Teluk Ramunia. Kehadiran Nong Mutalib di Pengerang memberikan kelegaan terhadap orang kampung, akan tetapi beliau berhadapan dengan tentangan beberapa orang musuh yang tidak berpuas hati dengan titah Temenggong Ibrahim.

Barisan pelakon yang akan menjayakan pementasan ini terdiri daripada anak-anak seni tempatan, iaitu Hairey Ikzam, Putera Amir, Haziq Zufayri dan Nurul Khairunnisa daripada Gerak Teater Johor. Manakala penampilan khas dalam pementasan teater ini akan diserikan dengan kemunculan Hairi Safwan.

Peminat teater di negeri Johor dan di sekitarnya dialu-alukan untuk menyaksikan pementasan ini. Tiket berharga RM35.00, RM25.00 dan RM15.00 masih boleh dibeli secara dalam talian melalui portal ticket2u.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.