Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkawi – Bengkel Ekspresi Seni Kreatif bersama-sama pelajar Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior (SKSBN), Pulau Dayang Bunting, Langkawi telah dijayakan pada 9 Mei 2024.
Kira-kira 70 orang pelajar dalam kalangan pelajar pendidikan khas, pelajar pra sekolah dan beberapa orang guru terlibat menjayakannya. Beberapa aktiviti berteraskan seni visual diadakan seperti permainan kreativiti, bengkel batik ikat celup dan bengkel melukis bermula pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Bengkel yang diadakan di Dewan Seri Dayang SKSBN merupakan inisiatif Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Professor Madya Hasnul Jamal Saidon dan mendapat kerjasama daripada Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA). Bengkel dan acara seumpama ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada acara yang pernah dijayakan pada tahun 2013 hingga tahun 2017.
Para pelajar didedahkan tentang asas proses kreativiti dan kreatif bagi menimbulkan minat bersesuaian dengan usia dan latar belakang mereka.
Pulau Dayang Bunting merupakan pulau kedua terbesar dalam gugusan kepulauan dan daerah Langkawi. Komuniti kecil yang mendiami pulau ini masih mengekalkan dan mengamalkan kehidupan bercorak ekonomi sara diri tradisional. Menerusi sentuhan seni kreatif, para pelajar diharapkan menjadi tunas cemerlang membina diri dan tumbuh membesar membentuk kekuatan tersendiri berdasarkan kesesuaian kekayaan landskap alam dan budaya setempat.
Wakil LAVAA iaitu Khairudin Abdul Hamid menyatakan, usaha ini amat penting kerana menjadi satu daripada agenda LAVAA dan MGTF USM untuk berkongsi ilmu pendidikan asas seni visual dalam kalangan pelajar.
Oleh hal yang demikian, secara tidak langsung pihak sekolah juga akan mendapat manfaat menerusi prestasi yang lebih positif. Majlis penutupan bengkel disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SKSBN, Cikgu Pisol Remli.