24 Mei 2024, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Adib Zulkifli

 

Kuala Lumpur – Bertempat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur telah berlangsung Majlis Penutupan Program Kebudayaan dan Kesenian PDRM bersempena dengan Hari Polis ke-217 pada tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika berucap merasmikan perasmian penutupan Program Kebudayaan dan Kesenian PDRM.

Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menjayakan program julung-julung kalinya ini berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Dihormati Deputy Inspector General (DIG) Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan, hasil daripada campuran etnik, agama dan tradisi berupaya menguatkan jati diri dan mencipta identiti nasional yang unik dan berharga.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Tegasnya lagi, selain menjadi simbol perpaduan dan sosialisasi, aktiviti kesenian dan kebudayaan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, kerana fitrah manusia itu sendiri gemarkan hiburan, keindahan dan kecantikan. Namun begitu beliau mengingatkan agar tidak berhibur sehingga berlebih-lebihan dan boleh melalaikan jiwa.

Tidak hanya itu, aktiviti seni juga mampu menjadi sumber terapi diri daripada kesibukan melaksanakan tugasan seharian, sekali gus mewujudkan ketenangan dan kegembiraan dalam diri anggota PDRM.

Penganjuran program kebudayaan dan kesenian seumpama ini merupakan platform terbaik untuk kita bersama-sama menjulang budaya dan warisan kesenian negara agar tak lapuk di hujan, tak lekang di panas.  Program ini juga akan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kita, selain memberikan ruang kepada warga PDRM untuk mengekspresikan seni dalam diri masing-masing.

Terdahulu YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP telah menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.  Menurutnya, program yang dilaksanakan ini merupakan medium pembangunan modal insan ke arah melahirkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam membentuk perpaduan dan keharmonian bertunjangkan bahasa dan sastera Melayu yang merupakan pasak ketinggian tamadun bangsa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diiringi oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyempurnakan perasmian penutupan Program Kebudayaan dan Kesenian PDRM.

Program ini juga berperanan sebagai landasan meningkatkan kecintaan dan penghayatan masyarakat terhadap seni budaya bangsa, sekali gus mempertahankan seni sastera Melayu sejak zaman-berzaman dalam kalangan Sang Saka Biru.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed (kiri) turut hadir dalam program ini.

Johan setiap kategori yang dipertandingkan melalui program ini iaitu, penulisan puisi, deklamasi puisi, pidato dan pementasan teater turut mengadakan persembahan.

Persembahan artis jemputan Haziq Rosebi menyemarakkan lagi aura seni budaya dalam majlis yang dianjurkan ini.

Pementasan teater oleh Cawangan Khas Bukit Aman turut menambahkan warna-warni majlis. Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Dihormati Komisioner Polis Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Yang Dihormati Komisioner Polis Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti,  Yang Dihormati Komisioner Polis Datuk Haji Samsudin Basir, Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, pegawai-pegawai kanan PDRM dan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.