4 Jun 2024, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan cerita berlatarkan Muzium Penglipur Lara pada satu malam, pementasan Monolog Loq3, arahan Fairul Pujangga, merangkap penulis skripnya, menampilkan tiga patung cerita legenda yang tiba-tiba bercakap sesama mereka tentang kisah sebenar yang menimpa diri masing-masing.

Patung Hang Jebat, lakonan Danny, menceritakan punca dia mati, dan dituduh sebagai penderhaka oleh masyarakat. Patung Mak Deruma (Intan Suraya) pula menceritakan sebab dia sanggup mendoakan anaknya menjadi batu. Patung Pak Pandir (Syed Farell) menceritakan mengapakah dia dituduh membunuh bayi apabila memandikannya dengan air panas, dan dituduh sebagai suami bodoh yang takut isteri.

Segala kebenaran tentang mereka akhirnya terungkap, bahawa mereka ada kisah yang berbeza-beza daripada apa-apa yang dituduh, dan dianggap oleh masyarakat selama ini.

Pementasan Monolog Loq3, terbitan Kelab Katarsis Seni, dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; Sekolah Seni Kuala Lumpur, serta Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia ini akan turut diserikan dengan persembahan selingan oleh Sasterawan Negara ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari.

Pementasan Monolog Loq3 akan berlangsung di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara pada 7 Jun 2024 bermula pukul 8.30 malam, dan 8 Jun 2024 pukul 11 pagi. Bayaran masuk adalah RM20 bagi dewasa dan RM10 untuk pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.