Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak kunjungan pertama menerusi rombongan wisata anjuran Persatuan Bahasa Melayu, SMK Methodist, Tanjong Malim pada akhir tahun 1970-an, ruang dan peluang kembali lagi apabila penulis sekeluarga berkesempatan untuk berdarmawisata seharian ke negeri Pulau Mutiara, iaitu Pulau Pinang sebaik usai majlis perkahwinan anak lelaki keluarga terdekat di Alor Setar, Kedah Darul Aman pada minggu terakhir bulan Oktober 2023 yang lalu.
Selain dapat mengimbau nostalgia menelusuri Jambatan Pulau Pinang dengan kereta nasional, Myvi, beberapa buah tempat yang menjadi daya tarikan para wisatawan dari dalam dan luar negara turut dikunjungi oleh penulis sekeluarga, termasuklah kuil bersejarah Kek Lok Si. Kek Lok Si merupakan kuil agama Buddha yang terletak di kaki gunung Ayer Itam, George Town, Pulau Pinang. Kuil yang telah dibina pada 1890 merupakan kuil Buddha yang terbesar di Pulau Pinang dan terkenal dalam kalangan pelancong di rantau Asia Tenggara.
Kuil tersebut telah dibina oleh Beow Lean pada tahun 1890 berasaskan seni bina Wihara yang bercirikan seni bina Cina, Thai dan Burma (Myanmar). Beow Lean merupakan seorang sami yang berasal dari Fujian, China. Pembinaan kuil ini telah dibiayai oleh lima orang peniaga terhebat Hakka pada zaman itu, iaitu Cheong Fatt Tze, Chan Yu Nan, Cheah Choon Seng, Tye Kee Yoon dan Chung Keng Kooi. Kutipan dana untuk pembinaan kuil tersebut telah dipermudah dengan mendedikasikan pembinaan struktur dan artifak kuil atas nama para dermawan kuil yang dikenali sebagai “penghulu segala kuil” di Pulau Pinang.
Menurut sumber sejarah, dalam kunjungan ke Pulau Pinang, duta Kerajaan Qing berasa amat terpegun dengan binaan kuil tersebut sebelum dilaporkan kepada Maharaja Guangxu. Baginda tertarik akan butiran yang diberikan lalu menitahkan Beow Lean agar berangkat ke Beijing sebelum dikurniai 70,000 jilid kitab suci. Kuil tersebut turut diberikan gelaran Kek Lok, yakni dalam ungkapan bahasa Hokkien bermaksud “kegembiraan atau kebahagiaan tertinggi” selain Sukhavati, iaitu suatu alam murni yang wujud dalam kepercayaan aliran Mahayana untuk Amitabha.
Batu asas pembinaan pagoda utama setinggi tujuh tingkat pula telah diletakkan oleh Raja Vajiravudh, pemerintah negara Thailand sebelum pagoda yang bergelar Ban Po Thar ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 1930. Pagoda ini mempamerkan 10,000 imej Buddha, menggabungkan asas oktagon Cina dengan tingkat tengah reka bentuk Thailand dan puncak seni bina Burma yang mencerminkan anutan setempat dengan menggabungkan aliran Mahayana dan Theravada selain menempatkan biara yang menjadi tempat tinggal para biksu dan biarawati.
Kuil ini bukan sahaja merupakan pusat ziarah penting bagi umat Buddha dari Hong Kong, Filipina, Singapura dan negara-negara lain di Asia Tenggara tetapi turut menerima kunjungan para penganut Buddha dan pelancong dari segenap pelosok dunia. Selain patung dewi Kuan Yin yang besar dan tertinggi di dunia, Kek Lok Si turut menjadi tarikan utama ketika perayaan Tahun Baharu Cina dalam kalangan masyarakat setempat. Pada kebiasaannya pintu-pintu kuil akan dibuka sehingga lewat malam dan diterangi ribuan lampu yang bersinar sejauh mata memandang.
Kompleks ini turut dihiasi beribu-ribu buah tanglung mewakili sumbangan yang telah disedekahkan oleh penganut dari dalam dan luar negara. Satu lagi ciri perayaan di kuil tersebut ialah perarakan panjang oleh ratusan biksu (sami atau pertapa penganut agama Buddha) dari negara Thailand yang kerap berkunjung ke kuil ini bersempena dengan acara perayaan pada setiap tahun.
Penulis sekeluarga turut berkesempatan untuk berdoa dan memohon keberkatan selain berpeluang untuk menghayati keunikan seni bina kuil serta mengabadikan kenangan dengan beberapa keping gambar bersama-sama keluarga sebelum pulang ke kampung halaman di Mukim Hulu Bernam Timur.
Yang pentingnya lewat makalah ini, pada hemat penulis, Kek Lok Si merupakan antara destinasi yang wajar dikunjungi oleh setiap wisatawan sama ada wisatawan domestik (pelancong dari dalam negeri) atau wisatawan mancanegara (pelancong dari luar negara) untuk memperluas persefahaman antara budaya dan memperkukuh weltanschauung warga insan di dunia sarwajagat ini.