Oleh Lutfi Zahid
11 Jun 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Galeri Seni Budaya WCO, Cheras, Selangor.

Cheras – Sempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dengan China, satu pameran miniatur diadakan selama sebulan di Galeri Seni Budaya WCO, Cheras, Selangor. Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China ini dirasmikan oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan pagi ini.

YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan (kiri) menyempurnakan perasmian Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Dalam ucapan perasmian, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa pameran miniatur ini merupakan simbolik kepada hubungan erat yang telah terjalin antara Malaysia dengan China selama lima dekad.

Pameran sosiobudaya seperti ini sangat signifikan kerana mempamerkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan juga China. Dengan demikian, persefahaman antara rakyat kedua-dua negara ini bertambah baik dengan saling mengenali budaya, seterusnya membantu memperteguh hubungan diplomasi antara Malaysia dengan China melalui hubungan rakyat dengan rakyat dan juga seni budaya.

Beliau turut menegaskan bahawa pameran ini bukan sahaja memaparkan sejarah kerjasama dan pencapaian kedua-dua buah negara, bahkan juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai pentingnya hubungan diplomatik ini.

Sementara itu, pengasas Galeri Seni Budaya WCO, Foo Loke Kee, berpendapat bahawa Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.

Pengasas Galeri Seni Budaya WCO, Foo Loke Kee (kiri) menyampaikan cenderamata kepada YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Beliau menyatakan bahawa pameran ini bukan sahaja mempamerkan keindahan seni dan budaya kedua-dua negara bahkan juga menunjukkan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan sosial.

Pameran ini dapat memperdalam pemahaman dan penghargaan terhadap warisan budaya masing-masing, sekali gus membuka penemuan baharu dalam perdagangan, pelancongan dan pendidikan. Pameran ini penting bagi memperkuat ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dengan China.

YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan semasa meneliti hasil kraf yang dipamerkan di Galeri Seni Budaya WCO.

Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China  berlangsung selama sebulan dan dibuka kepada pengunjung bermula dari 31 Mei hingga 31 Julai 2024 di Galeri Seni Budaya WCO, G-03, You Residences, Jalan Persiaran You City, Cheras, Selangor.

Pameran Miniatur Hubungan Diplomatik Malaysia-China menampilkan pelbagai model miniatur yang menggambarkan detik penting dalam hubungan dua hala, termasuklah projek pembangunan infrastruktur, pertukaran budaya serta inisiatif perniagaan dan teknologi yang telah dilaksanakan bersama. Pameran ini juga memaparkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Suhaimi Zakaria, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan; Jayappragas Muthuveeroo, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka; dan Encik Nik Mohd Fadly Nik Mat, Penolong Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.