Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Badan Budaya DBP dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bakal mementaskan Teater Perdana Haji Murat, karya Sasterawan Dunia, Leo Tolstoy yang diadaptasi oleh YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-68.
Mengimbas kembali kejayaan pada tahun lepas, DBP bersama-sama Badan Budaya DBP berjaya mementaskan Teater Perdana Balada Angsa Hitam karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan.
Pada tahun ini, DBP memilih sebuah karya novela (novel pendek) yang ditulis Leo Tolstoy dari tahun 1896 hingga tahun 1904 dan diterbitkan selepas kematiannya sekitar tahun 1912 dan merupakan karya terakhir nukilan Tolstoy.
Karya Tolstoy ini pernah diterjemahkan oleh penggiat sastera dunia, YBrs. Dr. Victor Pogadaev yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2001 melalui suntingan YBhg. SN Dato’ Anwar Ridhwan.
Mengulas tentang pementasan tersebut ketika sidang media pada petang tadi, YBhg. SN Dato’ Anwar Ridhwan berkata,
Sejak 2001, saya terpikat dengan novel ini. Maka itu, saya terus menghasilkan skripnya dan membayangkan skrip ini dapat dijadikan sebagai satu persembahan drama pentas, mungkin oleh DBP.
Setelah hampir 23 tahun, akhirnya bayangan YBhg. SN Dato’ Anwar Ridhwan tersebut menjadi kenyataan apabila DBP memilih karya ini untuk dipentaskan pada tahun 2024.
Menurut YBhg. SN Dato’ Anwar Ridhwan lagi,
Apabila kita pindahkan novela ini kepada skrip dan seterusnya menjadi drama pentas, saya mengharapkan penonton dapat menikmati satu persembahan drama berasaskan sebuah novel yang baik oleh pengarang yang hebat di dunia, iaitu Tolstoy.
Pementasan teater seperti ini merupakan satu daripada usaha DBP dalam mengangkat karya yang bermutu untuk dipentaskan agar mesej yang baik dalam penghasilan sesebuah karya itu dapat dikongsikan kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pula menyatakan,
Pementasan ini menyahut hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan karya-karya Sasterawan Negara diangkat dan diketengahkan agar karya yang bermutu ini dapat dinikmati oleh masyarakat.
Hasrat dan matlamat DBP adalah untuk memasyarakatkan rakyat Malaysia melalui sastera kerana melalui sastera jugalah, jati diri terbentuk dan seterusnya melahirkan masyarakat yang cinta dan sayang akan tanah air.
Tambah YBrs. Dr. Hazami Jahari lagi:
Kami akan memastikan sesebuah karya yang baik itu tidak terpendam dalam teks konvensional. Kami akan mengalihkan wahana karya yang baik dalam bentuk yang lebih menarik. Sesebuah novel menjadi filem, skrip drama menjadi pementasan teater dan sajak menjadi drama televisyen.
Yang menariknya, pementasan teater ini melibatkan karyawan DBP sebagai tenaga produksi dan sebahagiannya juga terlibat sebagai pelakon. Teater Perdana Haji Murat turut dijayakan oleh para pelakon hebat seperti Che Kem, Dr. Rusdeen Suboh atau Kudin, dan Ard Omar, serta mendapat sentuhan daripada Aris Othman dan A. Wahab Hamzah sebagai pengarah.
Teater Haji Murat mengisahkan protagonis bernama Haji Murat, seorang panglima pasukan pemberontakan Avar, yang membentuk perikatan dengan pihak Rusia yang telah ditentanginya dahulu kerana ingin membalas dendam.
Teater Haji Murat bakal dipentaskan pada 26 Jun hingga 29 Jun 2024, pukul 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.