Diterbitkan pada 24 Jun 2024, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) diteruskan ke daerah Petaling pada 19 hingga 21 Jun 2024, bertempat di Laman MBPJ.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, YB Datuk Rizam Ismail, program yang memasuki edisi keempat ini menampilkan sedikit kelainan bagi memenuhi keperluan penduduk bandar.

“Pengisian Program Gagasan Rumpun Selangor pada kali ini sedikit berbeza dengan berasaskan kebudayaan selain menyediakan reruai untuk berkongsi pelbagai maklumat, misalnya berkaitan dengan bantuan dan peluang pekerjaan,” jelas Datuk Rizam.

Satu daripada reruai di GRS yang memaparkan produk kraf tangan.

Pada tahun ini, Petaling Jaya menyambut ulang tahunnya yang ke-18 dinaikkan taraf sebagai bandar raya. Bersempena dengan sambutan itu, Petaling dipilih sebagai lokasi penganjuran GRS, selepas Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

Selepas Petaling, program GRS akan menjelajah ke lima buah lagi daerah hingga hujung tahun ini. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, penganjuran GRS di sembilan buah daerah ini membabitkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta. DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, turut berkenan mencemar duli ke setiap program GRS untuk bertemu dengan masyarakat.

Selain Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, iaitu agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia (Kementerian Komunikasi), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Kementerian Dalam Negeri), serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), GRS turut disertai badan yang berkaitan dengan kebudayaan di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Pengunjung GRS mencuba permainan dam aji.

Antaranya termasuklah Muzium Negeri Selangor, serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Dalam kunjungan pada 20 Jun lalu, penulis tertarik dengan reruai yang memaparkan beberapa sepanduk Muzium Permainan Tradisional, Muzium Sejarah Negeri Selangor, Muzium Insitu Jugra, Muzium Pertanian & Perikanan Sabak Bernam, dan Istana Bandar.

Antara permainan tradisional yang dipromosikan di reruai tersebut termasuklah permainan dam aji, dan congkak. Risalah-risalah yang berkenaan disediakan untuk para pengunjung, dan juga buku-buku terbitan PADAT yang dijual, serta beberapa orang pegawai yang bertugas memberikan penerangan secara bersemuka.

Selain dam aji dan congkak, turut diadakan permainan lain, iaitu sepak raga memakai kain sarung, memancing botol, menyepak bola ke dalam gol dengan mata ditutup, dan banyak lagi permainan dalam sukaneka.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu popular dan malar segar oleh kumpulan pemuzik jalanan yang diundang seperti Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), dan Kembali Merindu (Slam).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi