24 Jun 2024, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia meraih Anugerah Perak menerusi kategori Kerajaan/Sektor Awam pada Drum Marketing Awards Asia Pasifik (APAC) dalam majlis yang telah berlangsung pada 30 Mei lalu di Singapura.

Menurut Tourism Malaysia hari ini, anugerah tersebut mengiktiraf kempen “Selamat Kembali ke Malaysia” yang dibangunkan oleh BBC StoryWorks untuk Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) pada tahun 2023.

Cuplikan dalam kempen “Selamat Kembali ke Malaysia” yang memenangi Anugerah Perak menerusi kategori Kerajaan/Sektor Awam di Drum Marketing Awards.

“Dalam dunia pascapandemik, MTPB mengenal pasti peluang untuk mengukuhkan semula Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama,” kata Tourism Malaysia dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kempen berkenaan bertujuan untuk memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap pelancongan yang menawarkan pengalaman secara langsung dan penuh keaslian.

Objektif kempen tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah sentimen jenama dengan menempatkan Malaysia sebagai negara yang mesra pelancong, kaya dengan kepelbagaian budaya dan berbaloi diteroka untuk merasai pengalaman unik.

BBC StoryWorks membangunkan kempen “Selamat Kembali ke Malaysia” untuk menarik pengembara yang bijak, kaya dan teliti bagi meneroka lebih banyak tentang Malaysia.

“Kempen ini mencapai hasil yang luar biasa, melepasi penunjuk prestasi utamanya dengan lebih 16 juta tontonan video dan 1.3 juta tontonan halaman.”

Tourism Malaysia berkata, kajian lanjut oleh BBC StoryWorks terhadap lima filem tersebut menunjukkan peningkatan 12 peratus dalam jenama kegemaran, peningkatan 11 peratus dalam niat pembelian dan 96 peratus keinginan untuk berinteraksi dengan jenama.

Drum Marketing Awards APAC menekankan keberkesanan dan impak kempen “Selamat Kembali ke Malaysia” dalam memperbaharui dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf tinggi. Drum Awards merupakan program anugerah global berprestij yang meraikan amalan terbaik, syarikat cemerlang dan individu luar biasa dalam pemasaran dan komunikasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.