Diterbitkan pada 3 Julai 2024, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Sebanyak 650 orang anggota Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MALPTAAC) yang terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat terlibat dalam program Jiwa Murni yang dijayakan melalui aktiviti gotong-royong yang diadakan di Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada ahad.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan Gerobok Rezeki dan program Jiwa Murni tersebut di Dewan Dataran Semarak kampung berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah, Angkatan Tentera Darat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta kepimpinan masyarakat setempat bagi sama-sama membersihkan dan mengindahkan kawasan di sekitar kampung ini.

Antara lokasi yang terlibat dalam program pada kali ini ialah Lorong Askar Wataniah, Rumah Dodol Warisan Cik Wan, Laman Teratak Impian, Laman Bunga Raya, Anjung Diraja, Kampung Pulau Ketam, Masjid Kampung Tanjung, Lorong Rakyat dan Laman Bunga Kertas.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan untuk menyaksikan penyampaian sumbangan Gerobok Rezeki daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) oleh Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada 29 orang asnaf yang terpilih dari kampung-kampung berdekatan.

Tuanku Pemangku Raja turut berkenan untuk mengetuai kayuhan bagi meninjau kerja-kerja di sekitar kawasan Kampung Warna Warni Seberang Ramai yang diiringi sama oleh Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Darat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi