Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Cipta merupakan nama yang diberikan untuk konsert seniman “legenda hidup” tanah air, Dato’ M. Nasir di Axiata Arena Bukit Jalil, iaitu konsert Dato’ M. Nasir: Cipta, pada 10 Ogos depan, bermula pukul 8.30 malam.
Walaupun “cipta” hanya sepatah perkataan, yang memang pendek dan ringkas, tetapi tetap mengesankan dan sudah cukup melambangkan keseluruhan M. Nasir sebagai seorang figura seni tanah air.
Semua karyawan serta peminat seni suara di Malaysia, dan seluruh Nusantara telah mengetahui, sedar dan belajar daripada banyak karya ciptaan M. Nasir. Beliau adalah “otak”, “arkitek”, maestro, sifu dan semua yang berkaitan dengan penciptaan karya seni berkualiti tinggi.
Karya-karya ciptaan pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed ini sentiasa mendapat sambutan hangat ketika dipasarkan, sama ada untuk penyanyi solo lelaki dan wanita, mahupun kumpulan rock dalam pelbagai genre irama.
Secocok dengan dirinya yang digelar maestro, sosok berusia 66 tahun ini sentiasa mencipta karya-karya hebat, luar biasa dan malar segar, sehingga meraih pelbagai anugerah dalam arena muzik tanah air.

Konsert Dato’ M. Nasir: Cipta dibawakan khas oleh Icon Entertainment (Icon) yang sentiasa menyokong karyawan seni tanah air.
Sebagai langkah awal menguar-uarkannya, sebuah sidang media diadakan di Star Max Hall, DADI Cinema, Tingkat 5, Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini.
Selain M. Nasir, turut hadir pemilik Icon, iaitu Iman Tang. Menurut Iman, Icon sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan M. Nasir di sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni negara.
“Namun begitu, pentas kali ini akan menyajikan pelbagai ciptaan, dan kreativiti daripada seorang karyawan seni yang dihasilkan, lalu menjadi persembahan visual dan audio yang sentiasa kekal tidak akan pernah dilupakan,” katanya.
Menerusi Dato’ M.Nasir: Cipta ini, pelajar universiti awam dan peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaan beliau yang telah melahirkan karya bermutu, tidak hanya untuk dirinya sendiri, tetapi ratusan pemuzik, serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya.
“Dalam konsert Dato’ M. Nasir: Cipta, beliau akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah persembahan yang belum pernah disaksikan,” tambah Iman.
Antara lain, dalam sidang media tersebut, M. Nasir dan Iman sama-sama menyatakan pelbagai kemungkinan bentuk persembahan, serta mengharapkan kejayaan konsert berkenaan.
“Mungkin saya akan menyanyikan lebih banyak lagu ciptaan saya untuk saya sendiri, atau barangkali lebih banyak lagu untuk penyanyi lain,” ujar M. Nasir.
Selain itu, M. Nasir juga mengatakan tidak mustahil Faizal Tahir akan membuat kemunculan khas mendendangkan lagu terbaharu dengan beliau, Campak Bintang walaupun belum termasuk dalam perancangan.
Apa yang lebih penting, tegas M. Nasir ialah beliau hanya mahu peminat hadir menikmati Dato’ M. Nasir: Cipta dengan cara masing-masing, lalu pulang senang hati kerana telah menikmati sebuah lagi persembahan visual, audio dan santapan jiwa serta sesuai dengan cita rasa.
Di bawah bumbung yang sama, irama dan lagu mengalir masuk ke hati sanubari masing-masing dalam lingkaran kenangan terdahulu yang akan menambahkan momen masa hadapan.
Begitu pun, satu perkara yang sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada M. Nasir ialah banyak lagu ciptaan beliau yang bertemakan kemanusiaan/kehidupan mesra agama, dalam irama Melayu, dan Nusantara.
Antaranya termasuklah Perjalanan, Perjalanan 2, dan Kembara di Tanah Gersang (Al Jawaher), Ekspres Rakyat, Oh! Bulan, Cetak Rompak, Nusantara, Keroncong untuk Ana, dan Gadis Berpurdah Hitam (Kembara), Cinta Selayang Pandang (Dato’ Jamal Abdillah), Madah dan Kerenah (Ramlah), serta Mustika, Inang Pulau Kencana, Lambaian Sukma, Melawan Arus, dan Bila Rumi Menari (M. Nasir sendiri).
Justeru, amat sesuai apabila langkah penganjur selepas menelek-nelek dan berbincang, menyarankan agar para penonton datang ke Axiata Arena pada 10 Ogos nanti dengan berbusana tradisional serta ala pendekar dan srikandi.
Sama ada berseorangan, dengan rakan-rakan ataupun suami isteri, para penonton digalakkan bertanjak, berbaju Melayu, berbaju kurung atau berbaju kebaya, semoga kelihatan seperti pendekar, dan srikandi.
Justeru, tontonlah sebuah konsert berskala besar untuk jiwa-jiwa yang mahu terus meraikan “ciptaan” sifu kesayangan mereka ini. Dato’ M. Nasir: Cipta merupakan sebuah konsert yang memang dinanti-nantikan tahun ini dengan visual, repoirtaire lagu, susunan muzik, pemuzik, malah penyanyinya sendiri, M. Nasir yang dihormati segenap usia dan golongan.