Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas 18 tahun, Kongres Persekutuan Tukang Jahit Master Asia (CFAMT) kembali ke Malaysia. Dengan tema “Menyatukan Gaya, Meraikan Kemahiran”. Kongres yang masuk kali ke-28 (28thCFAMT) ini bakal berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 1 Ogos hingga 6 Ogos 2024.

Acara tukang jahit unggulan Asia yang mengangkat seni jahit tempahan, pertukaran kreativiti dan kemahiran, serta “perubahan berterusan fesyen” ini menampilkan pereka bentuk Malaysia, “mozek fesyen” pertunjukan fesyen antarabangsa dan berjalan berbusana antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada minggu lalu, penganjuran 28thCFAMT ini telah diumumkan oleh Persekutuan Persatuan Tukang Jahit Malaysia (FTGM) Persiaran TRX Barat, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur dalam sebuah sidang media.

Acara berskala besar ini merupakan dedikasi untuk mempromosi kemahiran seni jahit tempahan, menggalakkan kerjasama dalam industri serta menampilkan bakat-bakat menjahit ke peringkat antarabangsa.

Menurut Presiden FTGM, Encik Sam Ng Teck Yau, 28thCFAMT menumpukan pada usaha menambah jumlah penaja, pempamer, perwakilan, menggalakkan dialog bermanfaat dan menggiatkan inovasi.

“Acara ini turut menjanjikan pelbagai manfaat dan memperkaya pengalaman, menerusi beraneka program menarik dari kelas master ke pertunjukan fesyen. Sememangnya acara ini mahu menampilkan kemahiran jahit tempahan dan bakat-bakat seni menjahit,” tambah Encik Sam yang begitu teruja menjadi tuan rumah 28thCFAMT.

Disertai enam buah negara Eropah dan 10 buah negara Asia dengan kira-kira 300 perwakilan, Sam menegaskan FTGM amat gembira untuk menampilkan kemampuan mereka cipta dan inovasi para pereka cipta negara kita ke mata dunia.

“Acara ini bukan hanya menghargai warisan berakar umbi seni jahit di seluruh Asia, tetapi juga menjadi bukti dedikasi kita bersama untuk membawa kreativiti dan kemahiran ke dalam industri,” katanya lagi.

Demi kelancarannya, tambah Sam, penganjuran 28thCFAMT mendapat kerjasama pihak kerajaan Malaysia dalam usaha mempromosi kebaya, batik dan songket sebagai unsur budaya tradisional dengan pertunjukan fesyen yang memperagakan fesyen kebaya, batik dan songket untuk membantu mempromosi “perwatakan” istimewa kebaya, batik dan songket kepada tetamu-tetamu luar negara.

“Kami juga membuat perancangan agar tetamu luar negara dapat menikmati daya penarik kebudayaan dan seni dalam usaha membantu kerajaan mempromosi daya penarik pelancong, sebagaimana keunikan serta pelbagai seni dan kebudayaan untuk menarik lebih banyak pelancong asing melawat Malaysia,” katanya lagi.

Sidang media itu turut dihadiri wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia, termasuk Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, YBhg Dr. Eyo Leng Yan; Penasihat FTGM, YBhg. Datuk Dickson Phang, rakan kongsi merangkap Presiden Persatuan Pereka Bentuk Rasmi Malaysia (MODA), Cik Jay Ishak.

Sam turut mengucapkan terima kasih kepada semua penaja, MOTAC, Tourism Malaysia, Drago Lanificio in Biella, YKK Malaysia, Smart Master, Holland & Sherry, VBC, Paladino, NJB Trading, Scabal, Bagento’s Bespoke, Buttega Tesutti, Sharp Malaysia, Kim Lee, Nazrin Shah Tailor, dan MODA.

Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah Penggalakan Pelancongan Malaysia, YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, yang turut hadir, menggesa FTGM memanfaatkan platform 28thCFAMT untuk mencetus kemungkinan mewujudkan “Hab Fesyen dan Reka Bentuk” di Malaysia.

“Berjaya mewujudkannya di Malaysia, bererti mewujudkan sebuah lagi platform bagi industri reka bentuk Malaysia mengembangkan pasarannya dan mengangkat profil industri reka bentuk fesyen negara. Ini merupakan batu loncatan yang sangat bagus,” tegas Dato’ Yeoh dalam ucapan alu-aluannya.

Lebih penting, tambah beliau, jika hab baharu ini dapat berhubung dengan sektor pendidikan, kebudayaan dan pelancongan akan menjadikannya sebagai daya penarik pelancong dan produk untuk Malaysia, sekali gus menarik lebih ramai pelancong, terutamanya para penggemar tegar fesyen mengunjungi negara kita sebagai pelancong dan pengguna, selain mewujudkan produk baharu bagi pendidikan Malaysia.

Secara terperincinya, 13 orang perwakilan dari negara bukan Asia merangkumi Itali, England, Trinidad & Tobago, dan Mauritius. Sementara 200 orang lagi dari negara Asia, iaitu Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam, dan Emeriah Arab Bersatu.

Malaysia sebagai tuan rumah, diwakili 87 orang peserta. Antaranya ialah juara kebangsaan, Encik Estie Wong dalam pertandingan Memotong Master Antarabangsa; juara kebangsaan, Encik Er Wei Ming – pertandingan Memotong Master Junior), Encik Kok Keng dan Encik Nick – pertandingan Jari Emas), serta pertandingan Mannequin tiga kategori (Formal, Kreatif dan Tuxedo)

Antara acara yang bakal mengisi 28thCFAMT termasuklah ceramah eksklusif Master Classes, menetapkan petanda aras baharu, dalam ketelitian, dan kesenian dalam kemahiran oleh YBhg. Professor Andrew M. Ramroop OBE, dari Akademi Tukang Jahit Tempahan Savile Row, pada 2 dan 3 Ogos 2024.

Pada 3 Ogos 2024, dari pukul 6 petang hingga 7.30 malam pula, diadakan Pertunjukan Fesyen Pereka Bentuk Terkenal Malaysia “Aliran Fesyen” yang akan tampil sebagai platform utama bagi para graduan baharu beberapa buah institusi, termasuk Raffles, INTI, dan kolej vokasional untuk menunjukkan rekaan inovatif mereka yang terdiri daripada 10 orang pereka bentuk, dan 40 paparan halus mulus, yang membayangkan pertemuan bakat dan kreativiti.

Pertunjukan Fesyen Antarabangsa “Mozek Fesyen” akan diadakan pada 4 Ogos 2024, pukul 5 petang hingga 7 malam di pentas utama Pusat Konvensyen HGH, yang menampilkan contoh hasil kerja 30 orang pereka bentuk dari Asia Master Tailors, dan MODA. Dengan 162 paparan kraf yang indah, pertunjukan ini menonjolkan mercu kecemerlangan fesyen tempahan.

Pada 5 Ogos 2024, pukul 4 hingga 6.30 petang, Berjalan Berbusana Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjadi acara perjalanan yang diingati dari Grand Hyatt Kuala Lumpur ke Pavillion Kuala Lumpur. Dengan 500 orang peserta dan 20 orang pencetus idea, acara ini bertujuan membentuk batu loncatan baharu dalam sejarah Buku Rekod Malaysia.

Kehadiran peserta 28thCFAMT, Pertunjukan Fesyen Pereka Bentuk Terkenal Malaysia, Pertunjukan Fesyen Antrabangsa, dan Berjalan Berbusana Antarabangsa Kuala Lumpur memberikan tanggapan dan peluang berharga untuk memajukan perhubungan baharu serta platform bagi pertunjukan kepada khalayak antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi