Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Program Malam Puisi dan Akustik telah dijayakan dengan meriah di Pasar Kertas, Nilai baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran Kartel Seni dengan kerjasama Seni Broadcast Studio dan Pasar Kertas sebagai platform bagi mengetengahkan bakat muda dalam persembahan seni muzik, seni teater dan penulisan kreatif daripada komuniti di sekitar Bandar Baru Nilai.

Penggiat seni dalam kalangan generasi muda yang terlibat mengambil peluang untuk menonjolkan bakat kepada khalayak yang hadir.
Antara peserta yang terlibat termasuklah Latiff Brothers, Bob Mizi, Icca Joe, Natasha Aziz, Aiman Khayalan, Ingkar dan Teja Merah, AidilDuha, Ahmadul Amin, EzlanShah, Amirah Razak, Harith Jumat dan Munir serta Koyon dan Luqmone.
Masing-masing mempunyai pengalaman yang cukup matang dalam bidang seni persembahan. Namun kerana kurang mendapat ruang menyebabkan mereka sukar menempa nama.
Penganjur melihat Pasar Kertas sebagai tempat yang sesuai untuk mengumpul peminat seni puisi, seni persembahan dan seni muzik dari Negeri Sembilan terutamanya di Bandar Baru Nilai dan komuniti seni seluruh negeri menjadi sasaran penonton mereka.
Siapa yang menyangka percubaan berani ini berjaya membuahkan hasil apabila program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pengarah Kartel Seni, Fikri Dean ketika ditemui berkongsi pengalaman indah dalam menganjurkan program yang julung-julung kali diadakan.
Fikri Dean berkata, “Program Malam Puisi dan Akustik ini diadakan bertujuan untuk menjadi medan manifestasi seni dengan mengetengahkan dan menonjolkan bakat daripada penggiat seni muda di samping membantu mengembangkan seni budaya dan warisan”.
Fikri juga berharap agar program seperti ini dapat menjadi platform dalam kalangan penggiat seni muda untuk berkarya dan membentuk masyarakat bersama komuniti setempat yang memberi sokongan penuh terhadap aktiviti kesenian yang dianjurkan.
Generasi muda yang berbakat juga diseru untuk memanfaatkan peluang yang terhidang supaya bakat yang ada tidak dibiarkan sepi begitu sahaja.