Diterbitkan pada 10 Julai 2024, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pameran IMT-GT: Rantau” yang dipamerkan bermula 4 Julai hingga 1 Disember 2024 menghimpunkan lima kurator, dua kolektif seni, empat artis solo dan dua artis duo daripada tiga negara.

Menurut Balai Seni Negara, pameran ini diadakan bagi meraikan Tahun Melawat Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle atau sinonim dengan IMT-GT 2023-2025.

“Indonesia diwakili oleh kurator jemputan Bayu Genia Krishbie dari Galeri Nasional Indonesia bersama kumpulan kolektif Rumah Ada Seni dari Padang, Sumatera Barat yang terdiri daripada sembilan orang ahli, diketuai oleh Yusuf Fadly Aser,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Indonesia juga diwakili kumpulan kolektif Sikukeluang dari Pekan Baru, Riau yang bersifat transdisiplin bersama enam orang ahli yang diketuai oleh Adhari Donora, serta duo Arifa Safura dan DJ Rencong pengkarya dari Acheh.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman bergambar bersama-sama barisan artis yang terlibat dalam Pameran IMT-GT: Rantau.

Sementara itu, Malaysia pula diwakili oleh gandingan kurator Faridah Hanim Abd Wahab dan Adina Quraisa Ibrahim serta penulis jemputan Liu Cheng Hua, bersama artis Chong Yan Chuah serta duo Khairul Izzudin dan Shamin Sahrum.

Balai Seni Negara berkata ketiga-tiga artis ini mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina dan pengkaryaan berskala besar dan mereka menyumbangkan karya yang berkait dengan tema Rantau dan pengalaman diri berkaitan “merantau”.

“Thailand pula diwakili oleh Suebsang Sangwachirapiban, kurator dari Bangkok Art Biennale bersama artis Nordiana Beehing dari Yala, Maneerat Thamnarak dari Chumphon dan Arichama Pakapet dari Songkhla.”

Tambahnya, mereka ini memainkan peranan dalam pencetusan dialog seni dalam kalangan masyarakat dan mengikat keintiman persahabatan bagi berkongsi impak dan pengembangan ekonomi serta sosiobudaya daerah-daerah di bawah payung segi tiga IMT-GT.

Menurut Balai Seni Negara lagi, pameran ini ialah sebuah ungkapan artistik seniman visual dari tiga negara yang menggambarkan pencetusan pemikiran dan perasaan tentang alam, perhubungan keluarga, perjuangan kehidupan, kisah masa lalu, kelangsungan hidup dan kehidupan harian.

Barisan tetamu kehormat mengambil kesempatan mengunjungi pameran selepas majlis perasmian Pameran IMT-GT: Rantau.

Katanya, kerjasama tiga buah negara menerusi pameran ini mampu untuk mengangkat nilai kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian budaya dan kebersamaan serantau.

“Pameran IMT-GT: Rantau” ini juga memaparkan usaha Balai Seni Negara yang sentiasa komited dalam menyokong perkembangan seni serantau selain turut mengeratkan hubungan antarabangsa dan menggalakkan kemajuan sektor pelancongan,” katanya.

Majlis perasmian “Pameran IMT-GT: Rantau” yang berlangsung 4 Julai lalu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman di Balai Seni Negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi