Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHulu Kelang – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin memuji komitmen tinggi Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), YBhg. Dato’ Afdlin Shauki menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.
“Dato’ Afdlin menemui saya untuk menyatakan hasrat FDAM menganjurkan konvensyen ini. Kejayaan beliau menjadikannya kenyataan dalam tempoh persediaan yang singkat wajar dipuji,” jelas Dato’ Azmir yang tidak menyangka konvensyen berlangsung dari pagi hingga ke malam, iaitu lebih 12 jam.
Sebagai tanda menyokong konvensyen berkenaan, Azmir sanggup membatalkan kehadirannya di sebuah program di Kuantan. Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa kerja-kerja untuk memajukan lagi perfileman tanah air bermula dari tarikh penganjuran konvensyen berkenaan.
Azmir menyatakan sedemikian semasa menjadi ahli panel sesi Dialog Industri Kreatif FINAS X FDAM Bersama Penggiat Industri Kreatif di Dataran Karyawan FINAS pada 6 Julai lalu. Dialog dikendalikan oleh pensyarah sambilan filem dari FDAM, Encik Zaki Rahim sebagai pemudah cara.
Dialog tersebut merupakan satu daripada sesi bersempena dengan Konvesyen FDAM 2024, program julung-julung kali anjuran FDAM bersama-sama FINAS. Timbalan Pengerusi FDAM, YBrs. Encik Khir Mohd. Noor dan pelakon veteran, YBhg. Datuk Fauziah Nawi turut hadir.
Azmir turut tertarik dengan usaha FDAM melibatkan beberapa pihak di luar dunia perfileman seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Institut Jantung Negara (IJN), dan Tekun Nasional.
“Ini langkah yang baik kerana penggiat industri filem tanah air perlu lebih profesional dan mempunyai kontrak dalam setiap pekerjaan. Pada 22 Julai nanti akan dimulakan galakan kepada semua pemohon Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS agar turut memiliki akaun PERKESO,” katanya.
Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil juga, tambah Azmir, bakal mengumumkan berita baik mengenai DKD, yang turut menekankan pembangunan skrip. Industri perfileman tanah air, katanya, bukan sahaja dimajukan tetapi perlu dibentuk.
“Dalam soal pekerja bebas atau freelance ditipu, hal tersebut perlu melibatkan PERKESO. Sebenarnya, sebelum perintah kawalan pergerakan lagi, FINAS telah banyak membantu. Justeru, semua pekerja filem perlu ada akaun KWSP dan ASNB,” jelas Azmir yang sedar tidak boleh memaksa semua orang menjadi ahli persatuan.
Walau bagaimanapun, beliau mencadangkan agar disertakan syarat dalam borang keahlian bertujuan merangsang minat. FINAS juga, katanya, telah bertemu dengan Majlis Belia Malaysia, serta akan bekerjasama dengan semua agensi yang dilibatkan supaya para pembikin filem negara tidak hanya mengharapkan dana FINAS sahaja.
Ziarah MADANI akan diteruskan dengan peningkatan jumlah sumbangan. Pada tahun lalu, Fahmi pernah mencadangkan penubuhan sebuah tabung kebajikan, sementara panel latihan diteruskan sebagai modal insan dan pemacu ekonomi industri. Latihan dan dana, katanya, perlu seiring. FINAS bukan sekadar memberikan dana tetapi turut menyediakan fasiliti.
Mengenai masalah pelakon veteran dilupakan, dan bayaran terlalu rendah, Azmir meminta penerbit agar terus memberikan tawaran serta bayaran setimpal.
Sementara itu, Afdlin yang juga pelakon, pengarah dan penerbit terkenal menjelaskan bahawa langkah FDAM mengadakan sesi acara padanan perniagaan bertujuan mendengar penceritaan (pitching) daripada pengarah. Sebelum ini, katanya, pengarah perlu pergi ke pusat penyiaran, misalnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk sesi penceritaan itu.
“Tidak hanya pengarah, tetapi juga penerbit, dan pengurus produksi. Pengarah yang bersendirian juga boleh terlibat dalam program ini. Ertinya, konvensyen ini memudahkan kerja para karyawan kerana banyak pihak yang terbabit dengan sesi pendengaran berkumpul di satu tempat,” tambah Afdlin yang turut membayangkan penganjuran konvensyen ini pada setiap bulan atau dua bulan sekali.
Beliau menyetujui kata-kata dan pandangan Azmir dengan menegaskan kepentingan menyertai persatuan seperti FDAM. Soal kontrak penting, katanya, agar penggiat industri bertaraf profesional.
Hala tuju FDAM dapat dilihat jelas menerusi kerjasama dengan pihak-pihak bukan industri filem. Pihak-pihak berkenaan boleh menjadi sumber dana penerbitan alternatif, walaupun mungkin ada syarat yang dikenakan seperti kewajipan menggarap kisah berdasarkan konsep dan dasar pihak tersebut.
Justeru, itu boleh memperluas tema serta mengatasi klise kisah cinta lelaki-wanita dan pergeseran keluarga seperti yang dibidas oleh seorang pelakon veteran semasa soal jawab.
Filem-filem yang dipilih untuk sesi apresiasi dan tontonan yang tidak bertema klise juga menjelaskan hala tuju FDAM. Walaupun tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton, tetapi dua buah filem itu dipilih kerana tema, serta persoalan ceritanya.
Untuk sesi apresiasi filem, FDAM menampilkan Imam, arahan Mior Hashim Manap, lakonan Dato’ M. Nasir, Vanida Imran, Faizal Hussein, dan Dato’ Rahim Razali.
Bagi sesi Wayang Pacak, filem arahan YM Ts. Raja Mukhriz yang dibintangi Nazeera Sardi, Aniq Durar, Trisha Ooi, dan Azlan Komeng, iaitu Pagari Bulan menjadi pilihan penganjur.
Sesi Apresiasi Filem Imam di Pawagam Mini P. Ramlee menampilkan pelakon Noramin, mantan pensyarah Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, dan Mior Hashim sendiri sebagai ahli panel serta pengarah Faisal Chal Ahmad pula bertindak sebagai moderator.
Wayang Pacak Filem Pagari Bulan di Dataran Karyawan FINAS pada sebelah malam turut dihadiri penerbit Sharifah Shahora, Raja Mukhriz dan Afdlin.
Kerjasama dengan IJN, kata Afdlin, bertujuan memberikan kesedaran kepada para penggiat agar turut menjaga kesihatan, di samping kuat bekerja. Usaha ini, tambah beliau, boleh mengurangkan risiko kematian mengejut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Multimedia dan Komunikasi (CMCF), YBrs. Puan Mediha Mahmood, pihaknya cuma berperanan membantu mengawal kandungan sesebuah filem dan drama televisyen agar sesuai untuk tontonan umum.
“Perkara tersebut juga untuk menyelesaikan masalah peraturan berubah-ubah seperti ada masanya sesuatu itu boleh, ada kalanya dilarang. Sebagai contoh, penggunaan perkataan seperti jakun dan batak tidak dibenarkan lagi sekarang,” jelas beliau.
Mediha menegaskan bahawa CMCF tidak mengawal kandungan filem dan drama televisyen, tetapi hanya mengingatkan batasan-batasan yang perlu dipatuhi. Undang-undang yang ada, katanya, perlu diperkuat.
Mengenai larangan penggunaan perkataan seperti “bodoh” dan “jahanam” semasa watak marah yang dipertikai oleh Datuk Yusof Haslam, Mediha menjawab CMCF sedang berbincang dengan Lembaga Penapis Filem untuk menyelaraskan penggunaan bahasa.
Walaupun penonton dewasa perlu bijak memilih, tetapi Datuk Yusof bertanya kalau dilarang, apakah gantinya? Beliau juga menyebut pihak penyiaran jangan terlalu terikat dengan peraturan, kerana tidak adil atau tidak seimbang dan agak lucu. RTM disekat, katanya, tetapi Netflix “terbuka” luas.
Sementara itu, dalam ucapannya, Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Kamil Othman menganggap konvensyen ini lebih serius dan bukan sekadar pertemuan para penggiat filem tanah air sahaja. Ini kerana banyak orang sudah tidak ke pawagam sejak kemunculan Netflix.
“Walau bagaimanapun, filem untuk tempatan dan dunia boleh menjadi sektor ekonomi negara, bukan sekadar hiburan. Kita perlu meluaskan pandangan. Saya harap semua pihak mengambil peluang dalam konvensyen ini,” tegas beliau yang memberitahu FINAS akan terus memperjuangkan skim Wajib Tayang, meskipun industri filem tanah air bukan tanggungjawabnya semata-mata.
Mengenai kerjasama dengan CMCF, Dato’ Kamil memberitahu bahawa perkara tersebut bertujuan menjadikan FINAS lebih relevan dengan perkembangan serta keadaan semasa dalam soal kandungan karya.
Konvensyen julung-julung kali ini turut diisi dengan sesi uji bakat, dan kelas bimbingan oleh pengarah, Dr. U-Wei Haji Saari, Profesor. Ts. Dr. Mahadi J. Murat dan Adrian Teh.