Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha memartabatkan warisan budaya pantun sebagai khazanah negara, Kerajaan Negeri Melaka akan memperkenalkan negeri Hang Tuah itu sebagai Gedung Pantun Negara bagi memastikan warisan budaya itu kekal terpelihara.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perancangan itu akan dilaksanakan sebagai langkah susulan yang diambil negeri ini selepas melancarkan Gerbang Pantun Melaka sebelum ini.
Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan untuk menghimpunkan lebih 5,000 rangkap pantun terbaik bagi memastikannya terus kekal terpelihara pada masa akan datang.
“Kita mahu jadikan Melaka sebagai Gedung Pantun Negara selaras dengan usaha pelaksanaan Gerbang Pantun Melaka sebelum ini sebagai sebuah platform menyimpan pantun terbaik untuk dipelihara.
“Melaka telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggerakkan usaha ini, kita telah mewujudkan satu pantun untuk satu kampung selain satu jabatan dan sekolah untuk satu pantun yang dipamerkan di pintu gerbang sebagai menyambut tetamu yang datang.
“Pantun merupakan khazanah yang bernilai dan berfungsi sebagai sebuah medium perhubungan antara komuniti suatu ketika dahulu terutama dalam pernikahan, perkahwinan dan sebagainya yang menjadi medium bicara antara komuniti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari bersempena dengan Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari; Timbalan Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN Rosnan Nordin.
YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga berkata, setakat ini Melaka telah mengumpulkan lebih 1,000 pantun dari seluruh negeri ini dalam laman sesawang Gerbang Pantun Melaka.
Ujar beliau, langkah itu akan diteruskan dengan pelbagai penganjuran dan pertandingan bagi memastikan karya warisan zaman dahulu terus kekal dimartabatkan.
“Seperti penganjuran yang diadakan, usaha ini merupakan antara satu daripada langkah terbaik bagi memastikan warisan ini terus dipelihara.
“Kita akan meneruskan lagi pelbagai penganjuran antaranya Pertandingan Pantun Nusantara yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.
Program bertemakan “Membuanakan Pantun Khazanah Pusaka Bangsa” telah menghimpunkan kira-kira 1,000 orang peserta membabitkan pelbagai jabatan, agensi serta institusi awam dalam kolokium selama dua hari.
Pelbagai acara menarik turut dilaksanakan termasuk pameran, acara jual beli pantun daripada YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta persembahan kebudayaan.