Oleh Hafizul Osman
13 Julai 2024, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebut sahaja Ipoh, seluruh rakyat Malaysia pasti akan mengenali bandar raya penuh nostalgia ini. Makanan-makanan seperti mi kari, roti telur goyang, nasi vanggey dan nasi ganja Ipoh akan meniti di bibir semua pengunjung yang ingin datang ke Ipoh. Jarak perjalanan yang tidaklah jauh dari ibu kota Kuala Lumpur dan hanya mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit menjadikan Ipoh sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong tempatan. Selain itu juga, akses pengangkutan awam yang mudah seperti kereta api dan bas menjadikan Ipoh satu daripada destinasi wajib oleh pelancong tidak kira tempatan mahu pun antarabangsa.

Walaupun Ipoh sangat dikenali melalui makanan-makanan popular, namun begitu, masih banyak lagi perkara yang boleh diteroka oleh para pengunjung terutamanya tempat-tempat yang jarang diketahui. Antara tempat tersebut ialah Muzium Geologi dan kawasan peranginan Kuala Mu.

Ipoh merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan mineral terutamanya batu kapur. Selain Ipoh, beberapa buah tempat di Perak seperti Bidor, Batu Gajah dan Tapah turut terkenal dengan bahan galian yang lain seperti biji timah dan kaolin. Sejajar dengan kayanya mineral di negeri itu, sebuah muzium dibina di bandar raya Ipoh.

Muzium Geologi ditubuhkan pada tahun 1957 dan ditadbir oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Cawangan Perak. Peletakan batu asas bangunan muzium ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak ketika itu, Raja Idris Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah.

Muzium Geologi ditubuhkan pada tahun 1957.

Muzium ini dibahagikan kepada tujuh zon. Zon A mempamerkan sejarah muzium dan jabatan, sejarah bumi dan mural struktur geologi. Zon B pula mempamerkan segmen dinosaur, fosil dan batuan sementara zon C pula mempamerkan mineral, kristal dan batu permata. Segmen kegunaan mineral dipamerkan di zon D sementara aktiviti perlombongan di zon E. Aktiviti eksplorasi mineral dan geologi marin dipamerkan di zon F. Zon G merupakan zon yang terbesar yang mempamerkan bencana geologi, lombong dan kuari, hidrogeologi, geologi dan pembangunan negara, sumber mineral, geowarisan, produk JMG, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan makmal.

Konsep interaktif yang ditonjolkan menjadikan muzium ini sangat sesuai dikunjungi oleh semua peringkat usia tidak kira orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Konsep ini dilihat menyamai muzium-muzium lain di Malaysia seperti Pusat Sains Negara, Planeterium Negara dan Muzium Negara yang menjadikan lebih menarik dan seronok untuk dikunjungi. Muzium ini dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat dan kemasukan adalah percuma.

Nama Pos Kuala Mu pula masih kedengaran asing dalam peta pelancongan rakyat Malaysia. Kawasan perkampungan orang asli di Sungai Siput ini masih belum diterokai sepenuhnya berbanding tempat-tempat lain seumpamanya seperti Bentong, Janda Baik dan Kemensah. Pemandangan yang indah, suasana yang dingin dan damai menjadikan Pos Kuala Mu boleh menjadi satu tarikan baharu kepada orang awam yang ingin meneroka dan tinggal dalam suasana hutan yang hijau dan nyaman.

Untuk sampai ke sini, pengunjung perlu melalui pekan Sungai Siput sebelum mengambil laluan ke Felda Lasah. Perjalanan dari pekan Sungai Siput ke Pos Kuala Mu mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Pengunjung tidak perlu risau kerana pihak kerajaan telah menurap jalan untuk ke pusat peranginan ini. Pengunjung yang menaiki kereta perlu berhati-hati kerana laluannya agak berliku-liku dan perlu melalui lereng-lereng bukit. Apabila sampai di kawasan Pos Kuala Mu, pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan sungai yang cantik berserta air yang jernih.

Setakat artikel ini ditulis terdapat tiga kawasan pusat penginapan yang dibangunkan untuk pengunjung yang ingin bermalam. Kebanyakan chalet yang ada dibina menggunakan buluh dan atap nipah yang diusahakan oleh penduduk orang asli yang tinggal di situ. Chalet yang disediakan juga hanya sesuai untuk tidur sahaja dan tandas dibina berasingan serta perlu dikongsi dengan pengunjung lain.

Beberapa wakaf juga dibina dengan menggunakan buluh dan atap nipah. Wakaf tersebut dibina dengan pelbagai saiz dan pengunjung boleh memilih mana-mana wakaf dengan konsep siapa cepat dia dapat. Pengunjung boleh memancing, bermandi-manda dan juga melakukan aktiviti kembara hutan di sekitar kawasan tersebut.

Kedua-dua tarikan ini memberikan satu pilihan baharu kepada pelancong yang ingin ke Ipoh dan Sungai Siput. Dengan adanya kemudahan kereta api dari Kuala Lumpur dan Butterworth, Pulau Pinang mampu menaikkan lagi nilai pelancongan yang ada di kedua-dua tempat ini. Tarikan ini juga dapat memberikan satu kelainan yang tersendiri yang sukar diperoleh di tempat lain.

Pelancong boleh menimba ilmu sambil menikmati alam semula jadi dengan berkunjung ke dua-dua tempat tersebut. Pendek kata, Ipoh penuh dengan pelbagai khazanah yang masih boleh diterokai dan bakal menjadi tumpuan pelancong pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.