Diterbitkan pada 16 Julai 2024, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Perai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menganjurkan Festival Kraf Pulau Pinang (FKPP) 2024.

Menurut Kraftangan Malaysia, penganjuran FKPP 2024 adalah bagi menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf beridentitikan Malaysia.

“Ini Kraf Malaysia” merupakan tema yang dipilih bagi menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia selain menjadi platform bagi mengetengahkan kehalusan pertukangan kraf Malaysia melalui pengisian aktiviti yang pelbagai,” kata Kraftangan Malaysia dalam satu kenyataan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff ketika berucap merasmikan Festival Kraf Pulau Pinang 2024.

Kraftangan Malaysia berkata, Majlis Perasmian FKPP 2024 telah berlangsung pada 6 Julai lalu yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff bertempat di Seberang Perai Arena Convention Centre, Pulau Pinang.

Katanya, turut diadakan dalam majlis ini ialah serahan kit Cakna Kraf bagi aktiviti mewarna batik, anyaman rotan dan tenunan tapestri kepada enam buah sekolah menengah dan rendah.

Tambahnya, setiap sekolah menerima 100 kit dengan pelibatan 600 penyertaan keseluruhan dan antara sekolah yang menerima kit Cakna Kraf ialah Sekolah Kebangsaan Bertam Indah, Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu Perai, Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah, Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi.

Antara reruai pameran yang terdapat dalam Festival Kraf Pulau Pinang 2024.

“Pengembangan Ilmu – Cakna Kraf merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia untuk melindungi warisan kraf negara agar sentiasa terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang melalui pemerkasaan pengetahuan berkaitan seni kraf,” maklumnya.

Menurut Kraftangan Malaysia, majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah Pertandingan Ratu Kebaya Sulam bagi kategori cilik dan kategori dewasa.

Sementara itu, Kraftangan Malaysia memaklumkan FKPP 2024 turut dihiasi dengan Festival Boria Pulau Pinang yang bertujuan menyemarakkan industri pelancongan dengan kegiatan seni budaya dan warisan setempat.

Pemenang Pertandingan Ratu Kebaya Sulam bagi kategori cilik dan kategori dewasa yang diadakan bersempena dengan Festival Kraf  Pulau Pinang 2024.

“FKPP 2024 turut mengetengahkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti jualan produk kraf dan komuniti, pameran produk dan demonstrasi, Interaktif Kraf, Pameran Institut Kraf Negara (IKN), tarian kebudayaan bersempena dengan Festival Boria Pulau Pinang, Pameran MYCRAFTSHOPPE, reruai pameran agensi di bawah MOTAC, jualan usahawan FAMA, Pertandingan Ratu Kebaya, Pertandingan Gusti Lengan dan Pertandingan Ayam Serama serta reruai Pameran Kerjaya,” katanya.

Festival yang julung-julung kali diadakan ini bermula pada 5 Julai hingga 14 Julai 2024 bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Seberang Perai Arena Convention Centre, Pulau Pinang dan disertai oleh 46 orang usahawan kraf pelbagai negeri yang memasarkan produk kraf sepanjang festival berlangsung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi