Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Kira-kira 500 orang penonton menyaksikan Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah Ampun Tuanku, Titah Dijunjung di Encore Melaka, bersempena dengan majlis perasmian Melaka Heritage Festival 2024.
Majlis perasmian Melaka Heritage Festival 2024 bersempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO itu disempurnakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut Datuk Seri Utama Ab Rauf, kisah kehebatan Hang Tuah diangkat menjadi sebuah naskhah teater muzikal istimewa oleh Lokman Ghani selaku pengarah teater yang menggarap daripada naskhah Hikayat Hang Tuah, iaitu manuskrip terawal tahun 1758.
“Semoga dengan pementasan ini dapat membantu kita memahami perjalanan hidup insan hebat ini terutamanya kepada generasi muda agar dapat memupuk rasa bangga terhadap sejarah yang kita warisi,” katanya.
Pementasan teater itu dibarisi beberapa orang pelakon popular seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy, Ashraf Muslim, Dato Tarmimi Siregar, Dato Jalaludin Hasan,Mubarak Majid dan lain-lain.
Teater Muzikal Hikayat Hang Tuah Ampun Tuanku, Titah Dijunjung mengisahkan Hang Tuah yang merupakan anak kepada Hang Mahmud dan ibunya Dang Merdu Wati. Ayahnya telah bermimpi bahawa bulan turun dari langit dan cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah sekali gus petanda awal memunculkan Hang Tuah sebagai wira.
Dalam menuntut ilmu beliau belajar dengan Aria Putera, seorang pertapa semasa usianya 10 tahun. Ini menggambarkan bahawa Hang Tuah mencapai kematangan lebih awal daripada usianya. Beliau juga berguru dengan Sang Persata Nala di Tanah Jawa, menjadikan Hang Tuah sebagai manusia yang dapat menguasai berbagai-bagai ilmu seperti isyarat hulubalang, ilmu firasat dan ilmu perajurit.
Beliau juga sempat berguru dengan Syeikh Mansur mengenai soal-soal agama. Maka dapat dikatakan bahawa Hang Tuah telah melengkapkan dirinya dengan aspek penting, iaitu kekuatan mental, fizikal dan rohaniah.
Semasa kecil keunggulan Hang Tuah sebagai wira dapat dilihat apabila mereka berlima dapat mengalahkan lanun yang lebih banyak. Hang Tuah sebagai pencinta ilmu dapat dilihat setelah tamat mengaji al-Quran, beliau belajar dengan lebai Siam, lebai Cina, lebai Jawa dan lain-lain serta mengusai 12 bahasa.
Kecintaannya kepada ilmu bahasa sejak kecil seolah-olah sebagai pelengkap diri untuk Hang Tuah menjadi seorang diplomat. Pada dasarnya kekuatan Hang Tuah dari segi fizikal terus ditampilkan lebih-lebih lagi sewaktu dicabar oleh musuh ketika rombongan peminangan Melaka ke Majapahit.
Begitu juga semasa di Siam, dengan kegagahannya dapat mengalahkan pendekar Jepun bernama Cin Cu serta tujuh orang pengiringnya.
Laksamana Hang Tuah pada akhir khidmatnya menjadi diplomat kepada kerajaan Melayu Melaka. Kepercayaan Sultan Melaka terhadap Laksamana Hang Tuah amat tinggi. Hal tersebut terbukti dengan kejayaannya ketika mewakili Kerajaan Melaka membuat lawatan ke negeri-negara yang dititahkan. Misi akhirnya adalah ke Turki untuk mendapatkan meriam-meriam besar.
Hang Tuah merupakan seorang yang bijak dan mempunyai kekuatan fizikal yang menjadikannya wira terbilang selain sahabatnya Hang Jebat yang sangat berani. Kata-kata akhirnya, “Tidak akan Melayu Hilang di Dunia” merupakan kata keramat yang meniti di bibir kita hingga ke hari ini.
Hadir sama menyaksikan teater tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir ialah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.