Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan budaya, bahasa dan sastera, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BPI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum Semarak Budaya dalam Industri Kreatif di Sudut Karyawan, Wisma DBP pada pagi tadi.
Program yang dimudahcarakan oleh Ketua Unit Swasta BPI, Encik Mohd Hafizi Ahmad ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu pengarah, pelakon dan penyampai radio terkenal, Encik Fazlisham Mat Hussin serta Penerbit Syarikat Red Bean Production Sdn. Bhd., Puan Hana Farahin Husni.

Mengulas tentang usaha menyemarakkan budaya dalam industri kreatif, Encik Fazlisham Mat Hussin atau lebih dikenali sebagai Issey menegaskan bahawa penulisan dan penerbitan karya tempatan berkaitan budaya perlu dipergiat dan tidak seharusnya dipandang remeh.
“Karya yang menonjolkan unsur budaya tempatan memberikan pendedahan tentang budaya, isu masyarakat dan gaya hidup tempatan. Hal tersebut secara tidak langsung bertujuan supaya budaya dan tradisi tidak dilupakan oleh generasi muda pada masa kini,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, ketika menyentuh tentang peranan Red Bean Production Sdn. Bhd. dalam memartabatkan seni dan budaya, Puan Hana Farahin Husni menyatakan bahawa syarikatnya terlibat dalam penghasilan dan penerbitan karya tempatan seperti dokumentari tentang baju kebaya Perlis, Perak dan Selangor dan pewaris Seni Awang Batil.

Usaha tersebut menurut beliau, merupakan tanggungjawab dan sumbangan pihaknya kepada masyarakat secara kreatif dari sudut komersial.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus dan karyawan DBP.