Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Selaras dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mengangkat busana kebaya ke peringkat lebih tinggi, Kerajaan Negeri Melaka telah mengadakan Pesta Kebaya dan Busana Klasik @Melaka Heritage Festival.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pesta itu berupaya meningkatkan nilai martabat warisan budaya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurutnya lagi, keistimewaan pada busana kebaya wajar diberikan pengiktirafan kerana ciri-cirinya merangkumi elemen warisan kebudayaan tidak ketara melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian tradisional itu.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran pesta seumpama ini kerana hal ini merupakan antara usaha untuk mengangkat kebaya sebagai pencalonan bersama negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand ke Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity.
“Busana kebaya merupakan pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti bagi orang Melayu dan peranakan termasuk Cina, Baba Nyonya, Chetti dan Siam serta masyarakat lain termasuklah negara-negara yang masih aktif mengamalkan pemakaiannya di Asia Tenggara,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebaya dan Busana Klasik@ Melaka Heritage Festival 2024 bersempena dengan Ulang Tahun ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Bangunan Stadthuys.
Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, penganjuran pesta itu merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri mempelbagaikan aktiviti dan produk pelancongan yang menarik bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung dapat mempromosikan Negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka.

Pesta itu turut menyaksikan hampir 400 orang peserta berbusana menyertai perarakan termasuk 10 persatuan dan agensi antaranya, Beca Klasik, Persatuan Pelancongan Negeri Melaka, Persatuan Peranakan Cina Melaka, Persatuan Basikal Tua, Kumpulan Etnik Portugis dan Persatuan Baba Nyonya Malaysia.
Turut berarak ialah kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Persatuan Kumpulan Tari Triswara Seni Melaka, Pergerakan Wanita UMNO Melaka dan Pergerakan Puteri UMNO Melaka.
Turut diadakan ialah Pertandingan Busana Klasik dan Kebaya membabitkan sebanyak 119 penyertaan yang menawarkan hadiah wang tunai dan sijil penyertaan.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacque War Nar serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.